SUAMI kepada pelakon, Amyza Aznan, Khairil Izhar Mohd Nazir ditidurkan selepas mengalami sesak nafas pada Selasa lalu.
Amyza, 47, dalam satu perkongsian memberitahu terpaksa membuat keputusan sukar demi menyelamatkan nyawa suaminya dengan menandatangani surat keizinan membenarkan pihak hospital meneruskan rawatan dialisis dalam keadaan lelaki itu ditidurkan.
Ujar pelakon Mat Despatch itu, jika beliau tidak membenarkan rawatan itu diteruskan, suaminya berkemungkinan akan mengalami kegagalan organ-organ lain.
Pun begitu, sekiranya rawatan tersebut diteruskan, Khairil bakal berhadapan risiko degupan jantung berhenti.
"Kalau saya tidak bersetuju (lakukan dialisis), doktor kata ia akan merosakkan organ-organ lain tetapi kalau jalani proses dialisis ini pula risikonya tinggi sehingga boleh menyebabkan jantungnya terhenti.
"Saya hanya fikir positif kerana doktor memberitahu terdapat ramai pesakit yang berjaya melalui proses tersebut dengan baik,” katanya memetik Mstar.
Amyza memaklumkan cinta hatinya itu kini dalam keadaan kritikal dan kini sedang dipantau rapi.
Ujarnya, Khairil sebelum itu berhadapan masalah pernafasan dan tidak boleh tidur dalam posisi berbaring.
"Sebenarnya sudah hampir dua bulan suami saya tidak dapat tidur secara normal kerana tidak boleh bernafas. Beliau tidur duduk, jika tidur secara baring pasti akan sesak nafas.
"Beliau tidak ada penyakit asma tetapi pakar memberitahu suami saya itu mengalami kegagalan buah pinggang yang mana proses aliran darah ke jantung tidak berjalan lancar. Itu yang menyebabkan dirinya sesak nafas,” ujarnya lagi.
Kongsi Amyza lagi, doktor terpaksa mengambil keputusan untuk menidurkan Khairil bagi mengurangkan tekanan pada paru-paru.
Tidak hanya itu, bacaan kadar kreatinin pada buah pinggang suaminya juga terlalu tinggi dan boleh mengundang bahaya.
"Pagi tadi hospital telefon saya minta datang ke hospital kerana keadaannya sudah kritikal.
"Saya sampai saja di hospital, doktor sudah tidurkannya (Khairil) untuk mengurangkan paru-parunya bekerja keras. Oksigen beliau memang sudah turun.
"Doktor juga memaklumkan bacaan kreatinin buah pinggangnya mencapai 1,000 yang mana ia sangat tinggi” katanya.Terdahulu, Khairil pernah mengalami ‘mild stroke’ pada tahun 2019. - Sinarplus