PETALING JAYA - Masalah pembuangan sampah oleh individu tidak bertanggungjawab dari tingkat atas di bangunan perumahan merupakan antara kebimbangan majoriti penduduk di kawasan tersebut.
Lebih merisaukan lagi, situasi itu semakin berlarutan sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan kecederaan kepada warga penduduk di perumahan berkenaan.
Menerusi Apa Khabar Rakyat minggu ini, wartawan Sinar Harian, Mukhriz Mat Husin menyingkap keluhan dan luahan penduduk berhubung isu tersebut yang berlaku di kawasan Rumah Pangsa Blok 2, Desa Mentari, Petaling Jaya sejak 20 tahun lalu.
Seorang penduduk yang telah menetap di kawasan perumahan di Rumah Pangsa Blok 2, Desa Mentari, di sini mengakui bahawa masalah sampah yang dibuang dari tingkat atas sering berlaku sehingga mengakibatkan kecederaan kepada orang ramai.
Pemandu separuh masa, Azlee Haris, 49, berkata, antara sampah yang dibuang dari atas adalah botol kaca, sofa, kayu, pasu bunga, bungkusan air dan batu bata.
Ujarnya, seorang penduduk pernah mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat terkena objek keras yang dibaling dari tingkat atas oleh individu tidak bertanggungjawab.
"Masalah sampah ini memang masih lagi berlaku. Dulu sebelum pandemik lagi teruk, ada orang baling sampah dari atas sampai kena kepala penduduk.
"Teruk juga kesan luka dialami sampai kepala dia perlu dijahit. Sebab itu, penduduk di sini memang amat berhati-hati, takut terkena,” katanya pada Isnin.
Menurut Azlee yang berasal dari Sungai Besar, Selangor, situasi berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat yang risau akan keselamatan mereka sebagai penghuni di bangunan berkenaan.
"Sikap buang sampah secara buta tuli seperti itu memang membahayakan penduduk sedangkan tempat pembuangan telah disediakan.
"Sampah yang dibuang itu kadangkala terkena pada zink bumbung bangunan. Ada bumbung yang sampai rosak dan berlubang.
"Kalau tengok sebulan atau dua bulan sekali akan ada anggota badan pengurusan bersama (JMB) yang akan bersihkan (sampah di bumbung) tetapi tak lama lepas itu, orang buang lagi,” ujarnya.
Peniaga, Mohamad Jauhari Husain, 66, berkata, cermin keretanya juga pernah pecah akibat tindakan individu tidak bertanggungjawab yang membuang sampah dari tingkat atas.
"Saya tidak ada di tempat kejadian semasa cermin belakang kereta saya itu dipecahkan.
"Cuma yang tahu, cermin kereta saya itu dipecahkan oleh batu yang dibaling dari atas. Saya terpaksa keluarkan duit sekitar RM600 untuk baiki cermin tersebut.
"Bukan sahaja kereta, bumbung kedai saya juga sampai berlubang. Yang itu pun saya baru perasan, apabila hujan tempoh hari,” menurutnya.
Pekerja swasta, Maziah Mazlan, 26, berkata, situasi yang sama turut berlaku kepada keretanya tahun lalu.
"Pada masa itu, saya baru sahaja beli kereta. Seminggu selepas itu cermin belakang kereta saya retak sebab botol sabun pencuci yang dibaling dari atas.
"Kos baiki cermin itu anggaran RM500 hingga RM600. Nasib baik boleh tuntut insurans kereta,” jelasnya.