RANTAU PANJANG - Sikap pemilik meletakkan kenderaan tidak teratur dan mengambil ruang di atas jalan menyukarkan anggota keselamatan bergerak dengan cepat ketika melalui kawasan berkenaan dalam operasi menyelamat mangsa banjir.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasain berkata, ada pemilik kenderaaan yang tidak memikirkan keselamatan awam lain dan menghalang kenderaan anggota penyelamat.
"Pergerakan anggota keselamatan terhad dari satu tempat ke satu tempat kerana ada pemilik kenderaan yang tidak parkir dengan teratur dan mengambil ruang jalan," katanya.
Beliau berkata demikiam kepada pemberita selepas meninjau keadaan banjir di Pasir Mas dan Rantau Panjang pada Selasa.
Zainal memberitahu, parkir yang lebih teratur turut membantu operasi menyelamat mangsa banjir mudah dan cepat.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memantau anak-anak ketika bermain banjir.
"Kita bimbang mereka dijangkiti penyakit bawaan air berikutan keadaan tidak bersih," katanya.
Selain itu katanya, banjir turut menyebabkan kecederaan dan kematian akibat lemas dan mungkin tergelincir kerana arus deras.
Beliau turut memaklumkan, tiga hari lalu sebanyak 90 peratus kawasan Rantau Panjang dinaiki air tetapi tetap terkawal berikutan tidak berlaku hujan sejak Selasa.
"Memang sebelum ini ada kawasan air naik lebih 0.6m tetapi kini (Selasa) banyak lokasi sudah surut," katanya.
Jelas beliau, anggota keselamatan sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan mangsa banjir selain Rantau Panjang menjadi kawasan perdagangan dan keluar masuk penduduk tempatan dan Thailand.
"Kami sedang menumpukan operasi memindahkan mangsa di Pasir Mas dan Pengkalan Kubor," katanya.