KUALA LUMPUR - Nahas udara melibatkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang mengorbankan 10 individu termasuk dua pengguna jalan raya berhampiran Elmina, Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos lepas merupakan antara tragedi paling mengejutkan rakyat Malaysia pada tahun ini.
Tragedi pada 2.50 petang Khamis itu mengorbankan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun, juruterbang pesawat berkenaan Shahrul Kamal Roslan, 41, dan Heikal Aras Abdul Azim, 45.
Nahas pesawat malang itu turut mengorbankan lima penumpang lain iaitu Muhammad Taufik Mohd Zaki, 37; Khairil Azwan Jamaludin, 43; Shaharul Amir Omar, 49; Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35; Idris Abdol Talib @ Ramali, 41; dan pemandu e-hailing Sharipudin Shaari, 51, serta seorang penunggang motosikal (p-hailing), Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32.
Pesawat dengan nombor pendaftaran N28JV yang dikendalikan Jetvalet Sdn Bhd itu terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam ketika menghampiri Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS) selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang.
Laporan Awal Kemalangan Pesawat yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) pada 15 September lepas, menolak faktor juruterbang sebagai punca nahas berkenaan.
Insiden itu merupakan yang kelima melibatkan jenis pesawat sama sejak 1977 dan kali kedua berlaku di Elmina, dengan kali pertama pada 27 September 1977 yang mengorbankan 34 orang dalam tragedi Japan Airlines Flight 715.
Sementara itu, tragedi kepala air di Kampung Air Puteh, Kemaman, Terengganu pada 1 Julai lepas turut meruntun hati rakyat negara ini apabila meragut 10 nyawa termasuk sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir 3, Pahang dan seorang bakal menantu ahli keluarga itu berasal dari Batu Pahat, Johor.
Mereka dilaporkan telah pergi ke kawasan berkenaan yang terletak berhampiran Hutan Simpan Bukit Banui untuk berkelah sebelum dihanyutkan kepala air.
Sembilan sekeluarga terbabit adalah Karim Abdullah, 39; dan isterinya, Azizah Eiyi, 40; serta tujuh anak mereka Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya, 10; Muhammad Haziq Ziqree, 6; Putri Aryana Umaira, 4; Putri Nur Fatin, 14; Putri Alleya Maisarah, 16; dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; serta tunangnya Muhammad Fikri Saliman, 24.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) 10 mangsa tragedi kepala air itu melibatkan 279 anggota pasukan keselamatan antaranya daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan mengumumkan, operasi mencari mangsa terakhir iaitu Putri Nor Fatin ditamatkan pada 5 Julai lepas dan sehingga berita ini disiarkan tiada sebarang petunjuk bagi penemuan mangsa.
Jenazah lapan daripada sembilan sekeluarga yang terkorban dalam tragedi itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Lebar Hilir 3, Kuantan, Pahang pada 5 Julai, manakala jenazah Muhammad Fikri Saliman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Kuda, Semerah, Batu Pahat, Johor pada 8 Julai.
Sementara itu, kemalangan jalan raya terus menjadi antara pembunuh utama rakyat Malaysia dan antara nahas tragis dilaporkan ialah yang berlaku di Kilometer (KM) 4.8 Jalan Genting Highlands dekat Bentong, Pahang pada 8 Februari yang mengorbankan tujuh nyawa, manakala tujuh lagi cedera.
Kesemua mangsa dilaporkan menaiki van persiaran dari Genting Highlands dan dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang, sebelum kenderaan yang dinaiki hilang kawalan lalu terbabas melanggar konkrit pembahagi jalan menyebabkan Wong Choun Chiet (pemandu), 49; Foong Ah Lan, 67; Lee Moy, 67; Goh Siew Kim, 61; Ang Meng Hing, 62; Seow Mee Tin, 72; dan Chang Them Kong, 70, meninggal dunia.
Paling menyayat hati, kemalangan tragis di Jalan Segamat-Kuantan dekat Taman Yayasan, Segamat, Johor, pada 1 September lepas, yang mengorbankan enam sekeluarga dan seorang parah setelah kenderaan Perodua Alza dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori pasir.
Kemalangan tersebut melibatkan lima kenderaan, dipercayai berlaku apabila sebuah Honda HRV memperlahankan kenderaan kerana terdapat kerja-kerja pembaikan jalan sebelum lori yang bergerak dari arah sama gagal membrek dan hilang kawalan lalu bertembung dengan Perodua Alza dinaiki tujuh sekeluarga itu.
Pasangan suami isteri, Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43, serta empat anak mereka Fatimatulzahrah Amir Ruddin,17; Seri Khadijah Aqilah,13; Rufaidatul Asyariyah,10; dan Muhammad Assyakrawi, 5; meninggal dunia dalam kejadian itu, manakala seorang lagi, Abdullah, 15, cedera parah.
Kemalangan itu yang menyebabkan anak sulung keluarga tersebut, Abdur Rahman Amir Ruddin, 19, dan adiknya, Abdullah menjadi yatim piatu dalam sekelip mata, turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa.
Selain itu, insiden runtuhan gudang logistik sedang dalam pembinaan di Batu Maung, Pulau Pinang pada 28 November lepas turut mengejutkan rakyat Malaysia apabila tiga pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut, manakala dua lagi mangsa dilaporkan parah.
Laporan awal menyebut sembilan pekerja binaan dipercayai terperangkap dalam runtuhan itu, bagaimanapun semakan terhadap kemera litar tertutup di kawasan pembinaan mendapati empat daripadanya telah melarikan diri semasa kejadian.
Mangsa yang maut dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai Md Ahed Ali, 42; Mohammad Mokaddes Ali, 46; dan Mohd Sayful Islam, 29; manakala yang parah adalah Md Uzzal Mridha, 30; dan Md Razu Ahamad, 33; yang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP). - Bernama