KUALA BERANG - Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Terengganu berjaya menangkap seekor ular tedung selar sepanjang empat meter dengan anggaran berat 20 kilogram di Kampung Sungai Ular, di sini petang semalam.
Pegawai APM Daerah Hulu Terengganu, Kapten (PA) Mohd Zabri Abd Razak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penduduk kampung pada 7.10 malam semalam yang memaklumkan kehadiran reptilia itu di dalam bilik tidur di rumahnya.
Susulan itu katanya, lima anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular tersebut yang berada di atas dinding kayu di dalam bilik tidur.
"Penghuni rumah pada mulanya mendengar bunyi bising di bahagian atas bilik tidur di rumahnya dan setelah diperiksa dia mendapati seekor ular tedung selar sedang berada di atas dinding.
"Memang ular seperti ini akan membuat bunyi bising sebagai tanda amaran apabila ia rasa terganggu.
"Ular tedung selar ini juga sangat berbisa, sekiranya dipatuk mangsa boleh meninggal dunia dalam masa lima minit sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, haiwan tersebut akan disimpan sementara di pejabat APM Daerah Hulu Terengganu, sebelum memutuskan sama ada akan dilepaskan semula ke habitat asal yang jauh dari kawasan penduduk atau diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. - Bernama