ALOR GAJAH - Padah mencuri benang emas pada sebuah mesin pengeluaran di kilang, seorang bekas operator kilang dijatuhi hukuman penjara seminggu dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Rabu.
Majistret Khairunnisak Hassni menetapkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Shahrul Helmi Ramli, 35, membuat pengakuan bersalah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang sebelum ini merupakan operator pengeluaran di kilang Dominant didapati dengan niat curang mencuri benang emas yang bernilai kira-kira RM4,000 milik kilang itu tanpa kebenaran majikannya.
Perbuatan itu dilakukan di ruang pengeluaran kilang Dominant, di sini kira-kira jam 6 petang, pada 10 September lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, pihak polis menerima laporan daripada eksekutif kilang memaklumkan kehilangan benang emas di salah satu mesin pengeluaran kilang.
Siasatan mendapati terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan perbuatan dilakukan tertuduh.
Tertuduh yang telah berkahwin diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek merayu hukuman diringankan kerana tertuduh telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara seminggu bermula tarikh ditangkap pada 19 Disember lalu serta denda RM2,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.