PASIR MAS - Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud tetap ke pejabat meskipun kawasan rumahnya di Kampung Meranti di sini ditenggelami banjir sejak Selasa malam.
Perkara itu dikongsikan melalui hantaran di laman sosial Facebooknya pada Rabu.
Menerusi perkongsian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu, beliau terpaksa menaiki pacuan empat roda untuk keluar dari kawasan kediamannya.
Mohd Nassuruddin berkata, paras air naik di kawasan rumahnya agak cepat pada lewat malam tadi.
"Alhamdulillah, pagi ini masih dapat melaksanakan tugasan rasmi ke pejabat untuk memimpin mesyuarat Exco,” katanya.
Menurut laporan bencana dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada Rabu, setakat jam enam pagi tadi, Kelantan merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 17,466 orang daripada 5,540 keluarga berlindung di 89 PPS di lapan daerah.
Daerah yang terjejas adalah Gua Musang, Jeli, Kota Bharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tanah Merah.