Mangsa banjir 'trauma' beli perabot, terkenang peristiwa 2014

Iklan
Kanak-kanak sedang asyik bermain air di sekitar Kampung Manek Urai yang dilanda banjir pada Selasa. - Foto Bernama

KUALA KRAI - Setiap kali banjir, perkara pertama membelenggu fikiran penduduk yang terjejas pastinya tentang keadaan rumah yang dinaiki air hingga menyebabkan perabot seperti sofa, kerusi, meja, almari serta perkakas elektrik rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Penduduk Kampung Keroh, di sini, Norasmaruza Abdul Razak, 48, berkata, selepas kejadian bah kuning pada 2014, beliau trauma untuk membeli perabot rumah berkenaan kerana khuatir akan rosak apabila kediamannya dinaiki air lagi ketika banjir.

Iklan
Iklan

"Saya ambil keputusan untuk beli perabot asas sahaja seperti almari dan kerusi meja serta perkakas elektrik seperti televisyen dan peti sejuk sebab tidak mahu peristiwa sama berulang apabila rumah dilanda banjir.

"Sebelum banjir 2014, boleh dikatakan rumah saya cukup lengkap dengan perabot dan perkakas elektrik yang sesetengahnya saya beli lebih daripada satu seperti televisyen dan almari, tetapi selepas kejadian itu saya sangat berhati-hati untuk membeli," katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keroh di sini hari ini.

Iklan

Norasidah Yusof, 52, pula berkata peristiwa banjir 2014 memberi mimpi buruk buat dia dan keluarga kerana kerugian hampir RM20,000 apabila semua perabot dan perkakas elektrik di dalam rumahnya musnah.

"Kalau diingat semula peristiwa banjir 2014, saya jadi takut sebab ketika itu air nak dengan cepat dan terpaksa berpindah segera, hanya sempat bawa dokumen penting sahaja.

Iklan

"Perasaan saat itu hanya Allah sahaja yang tahu kerana begitu dahsyat ujian yang diberikan-Nya.

"Bila tengok perabot memang kita selalu ingin tukar yang baharu ikut cita rasa yang lain, tapi bila fikir dan ingat semula jika berlaku banjir besar seperti sebelum ini, hati saya terus mengatakan cukuplah dulu dan beli mana perlu sahaja," katanya.

Sementara itu, Norizan Isa, 53, yang ditemui di PPS SMK Kuala Krai turut melahirkan rasa sedih apabila mengenang kembali rumahnya yang dilanda banjir pada 2014 kerana semua barangan perabot yang dibeli hasil daripada titik peluhnya bekerja menjual kuih musnah begitu sahaja.

"Sekarang, cukup sekadar ada barangan asas dan tidak perlu berbelanja lebih untuk barang-barang tersebut kerana setiap tahun rumah saya akan dinaiki air," katanya. - Bernama