8 maut ribut landa tenggara Australia

Iklan
Orang ramai menaiki roller coaster berhampiran pokok tumbang selepas ribut di Helensvale di Gold Coast, Queensland, Australia pada Rabu. - Foto EPA

SYDNEY - Ribut yang melanda tenggara Australia pada Hari Krismas dan hari selepas Krismas atau `Boxing Day' mengakibatkan lapan orang terbunuh masing-masing enam di Queensland manakala dua lagi di Victoria, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Jurucakap polis Queensland Andrew Pilotto pada Rabu berkata, mayat tiga lelaki - berusia 48, 59 dan 69 tahun - ditemui selepas sebuah bot dinaiki 11 lelaki terbalik di Moreton Bay, di luar pantai Brisbane, pada petang Selasa.

Iklan
Iklan

Menurut Pilotto, kejadian berlaku semasa 11 lelaki itu dalam ekspedisi memancing tahunan.

Beliau berkata, seramai lapan mangsa kemudiannya diselamatkan dan dibawa ke hospital dengan kecederaan yang tidak mengancam nyawa.

Iklan

Selain itu polis Queensland pada Rabu berkata, mayat seorang wanita berusia 40 tahun yang hilang bersama seorang lagi wanita berusia 46 tahun ditemukan pada 7 malam, Selasa.

Mangsa yang hilang di Sungai Mary, Southside Gympie kira-kira 150 kilometer (km) dari Brisbane disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan

Menurut polis, seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun yang hilang ketika bermain di longkang di pinggir bandar Brisbane pada Selasa juga ditemukan meninggal dunia.

Agensi Berita Australia AAP melaporkan, seorang wanita berusia 59 tahun turut maut ditimpa pokok tumbang di Gold Coast, selatan Brisbane.

Ketua Menteri Queensland, Steven Miles berkata, ribut terutamanya pada Hari Krismas belum pernah berlaku sebelum ini.

Di Victoria, seorang wanita ditemui maut pada petang Selasa di Buchan, kira-kira 300km timur Melbourne, selepas banjir kilat melanda kawasan itu.

Terdahulu pada Selasa, seorang lelaki berusia 44 tahun terbunuh selepas dahan tumbang menimpa kediamannya di Caringal, kira-kira 100 km timur Melbourne, lapor media tempatan.

Sebahagian besar Victoria kekal berwaspada terhadap kemungkinan banjir selepas ribut petir dijangka berlaku pada Rabu di bahagian tengah dan utara pantai Queensland. - Bernama/dpa