Nadma mahu JPBN, JPBD di Johor, Pahang diaktifkan

Iklan
Limpahan air dari Sungai Lembing mulai surut ketika tinjauan di pekan Sungai Lembing, pada Isnin. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengeluarkan arahan supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah (JPBN/JPBD) di Pahang dan Johor diaktifkan.

Arahan itu berikutan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), pada Rabu.

Menurut agensi itu, JPBN dan JPBD perlu meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana yang bakal berlaku terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

Iklan
Iklan

"Pihak jawatankuasa harus memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada dalam keadaan baik serta bersedia untuk digunakan.

"Semua Pusat Operasi atau Kawalan Bencana Peringkat Pusat hendaklah memanjangkan notis ini ke peringkat Negeri dan Daerah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada membabitkan beberapa daerah di dua negeri berkenaan bermula 12.30 tengah hari ini hingga Khamis.

Jelasnya, hujan berterusan di Pahang melibatkan kawasan Kuantan, Pekan dan Rompin manakala Johor pula adalah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Iklan

Justeru, Nadma melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel opsroom@nadma.gov.my