Warga emas didapati bersalah amang seksual dipenjara 10 tahun

Iklan
Prosiding berlangsung di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) berikutan tertuduh diserang sesak nafas pagi tadi.

KLANG - Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dengan cara mencium mulut mangsa, dua tahun lepas.

Hakim Syafeera Mohd Said menjatuhkan hukuman itu ke atas Zakaria Kamaludin, 67, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan pada prosiding yang berlangsung di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini berikutan tertuduh diserang sesak nafas pagi tadi.

Iklan
Iklan

Syafeera memerintahkan tertuduh dipenjara 10 tahun dari tarikh jatuh hukum iaitu hari ini, selain, mengenakan perintah kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan peguam, M Thanakumaran yang mewakili tertuduh yang memohon agar penangguhan hukuman sehingga pelupusan rayuan diberikan kepada warga emas itu, mengambil kira keadaan lelaki itu yang sedang mendapatkan rawatan di HTAR.

Iklan

Namun, mahkamah juga memutuskan penangguhan itu adalah tertakluk kepada syarat bahawa tertuduh akan dihantar ke penjara sekiranya dia gagal memfailkan rayuan dalam tempoh 14 hari.

Mengikut pertuduhan, Zakaria didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berumur lapan tahun dengan cara mencium mulut mangsa bagi tujuan seksual di sebuah rumah di Meru dekat sini pada jam 5.40 petang, 21 April 2021.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.

Terdahulu, Thanakumaran merayu anak guamnya dikenakan hukuman pemenjaraan yang singkat dengan alasan tertuduh merupakan seorang warga emas yang menghidapi masalah jantung dan keadaan kesihatannya juga semakin bertambah kronik.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Ayuni Jamri memohon agar tertuduh dikenakan hukuman pemenjaraan yang berat mengambil kira mangsa ketika kejadian berumur lapan tahun.

"Perbuatan tertuduh yang telah melakukan amang seksual berbentuk fizikal kepada mangsa ini menunjukkan bahawa tertuduh tidak mengendahkan undang-undang negara dan hukum hakam agama yang jelas melarang perbuatan ini.

"Tertuduh juga tiada sifat ihsan dan belas kasihan terhadap mangsa yang begitu muda, dengan perbezaan umur sebanyak 57 tahun antara tertuduh dan mangsa.

"Saya juga pohon mahkamah mengambil kira trauma yang dialami oleh mangsa akibat daripada perbuatan tertuduh yang jijik dan terkutuk ini. Kesalahan dilakukan oleh tertuduh adalah merupakan suatu yang amat serius dan wajar dihukum dengan hukuman yang keras selain memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan serupa," katanya.

Seramai enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 7 Februari lepas. - Bernama