KUALA BERANG - Simpati terhadap nasib penduduk yang terjejas banjir menjadi pendorong buat sebuah kelab sukarelawan, Ajil Silaturahim di pekan Ajil di sini membantu memindahkan mangsa bencana itu menggunakan jentera pengorek kaut atau backhoe milik peribadi ahli kelab berkenaan.
Timbalan Presiden Ajil Silaturahim, Sahnun Hamad berkata, selain membawa mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS), kelab yang dianggotai 30 penduduk tempatan itu turut memudahkan kakitangan Hospital Kuala Berang untuk ke tempat kerja.
"Kami membawa petugas hospital dan pesakit meredah banjir sejauh hampir 500 meter menggunakan jentera ini. Kalau kami tak bantu, mungkin petugas ini juga tidak dapat bekerja, dan orang yang sakit tidak dapat menerima rawatan sepatutnya di hospital. Ini semua atas dasar kemanusiaan," katanya kepada Bernama hari ini.
Sahnun berkata, kerja membawa petugas hospital pergi dan balik kerja meredah banjir dilakukan setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 7 malam sejak Ajil dilanda banjir gelombang ketiga ini.
Tidak mengharapkan sebarang balasan atau perhatian daripada mana-mana pihak, kelab yang ditubuhkan kira-kira 10 tahun lepas itu seikhlas hati menggerakkan jentera masing-masing sepanjang musim banjir ini dengan menggunakan duit poket sendiri untuk pembelian bahan bakar.
Secara keseluruhannya, Ajil Silaturahim mempunyai hampir 50 jentera termasuk jengkaut, lori, bot fiber, mesin pengorek (ekskavator) dan kenderaan pacuan empat roda.
Kesemua jentera itu dimiliki ahli kelab berkenaan sama ada menerusi pekerjaan mereka sebagai kontraktor dan pemandu lori, mahupun atas faktor hobi sebahagian ahli yang suka memancing.
"Selepas ini, kami akan fokus kepada kerja untuk membantu membersihkan rumah mangsa selepas banjir surut, termasuklah mengangkut sampah dan sebagainya. Daripada tidak berbuat apa-apa, lebih baik kami lakukan kerja sukarelawan sebegini.
"Buat masa ini, kami akan tumpukan di Ajil dan Terengganu terlebih dahulu. Setelah selesai semua kerja di sini, barulah kami akan bergerak ke negeri lain misalnya Kelantan atau Pahang seperti yang dilakukan pada tahun-tahun lepas," katanya sambil menambah ada daripada ahli kelab yang turut menjadi mangsa banjir kali ini.
Bencana banjir gelombang ketiga di Terengganu semakin menunjukkan trend penurunan apabila data oleh sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan bilangan mangsa banjir berkurang kepada 7,108 orang setakat jam 4 petang tadi, berbanding 10,145 orang yang dilaporkan pada jam 8 pagi. - Bernama