PASIR MAS - Lapan kampung melibatkan 430 keluarga di Mukim Siram, di sini dilanda banjir pada paras lebih tinggi selepas benteng Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok bernilai lebih setengah bilion ringgit di Kampung Lanchang pecah akibat arus deras, pada Selasa.
Kampung terbabit ialah Bukit Lata, Kelawar, Teraji Sapi, Jeram Perdah, Banggol Kom, Chenerai dan Siram.
Seorang pekerja am, Maptar Che Othman, 59, berkata, banjir melanda Kampung Lanchang pada gelombang ketiga sehingga lebih semeter berbanding hanya 0.4 meter (m) pada kebiasaan tahun-tahun lalu.
Katanya, keadaan itu menyebabkan penduduk segera berpindah kerana air naik secara mendadak.
"Semasa ada benteng, banjir juga tetapi kami tidak perlu berpindah dan kali ini lebih parah apabila benteng pecah, penduduk perlu menyelamatkan diri lebih awal kerana air masih lagi naik,” katanya kepada Sinar Harian, di sini pada Rabu.
Tinjauan turut dilakukan ke kawasan terbabit bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut melakukan usaha memindahkan mangsa banjir.
Terdahulu, Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marinamarican Abdullah berkata, benteng PLSB pecah sepanjang kira-kira 50 meter.
Katanya, pihak JPS mengesahkan perkara itu namun belum meninjau lokasi kejadian kerana keadaan berbahaya.
Menurut beliau, benteng itu mempunyai ketinggian lebih 10m, manakala air Sungai Golok pada hari berkenaan mencecah 11.03m.
"Benteng yang pecah ini boleh jadi makin luas kerana sungai melimpah,” ujar beliau.
Sementara itu, seorang ibu tunggal, Rosmaliza Mustafa, 41, berkata, dia bersama dua anak lelaki berusia 15 dan 16 tahun terpaksa mendapatkan bantuan penghulu kampung untuk berpindah.
Kata tukang jahit itu, air naik secara mendadak di Kampung Siram mencecah satu meter di kawasan rumahnya yang terletak di tepi jalan lama menghubungkan Rantau Panjang-Pasir Mas.
"Telefon saya tidak ada beteri kerana rumah tidak ada elektrik dan air di rumah sejak dua hari lalu.
"Saya minta penduduk yang lalu dengan bot di kawasan ini untuk menghubungi penghulu bagi mendapatkan bantuan tetapi kebetulan polis datang dan membawa kami berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong,” ujarnya.
Dalam pada itu, Penghulu Mukim Siram, Zamri Yahya berkata, penduduk dibantu ke PPS menggunakan botnya sejak Selasa dan masih diteruskan hingga Rabu.
Kata beliau, mereka berpindah kerana bimbang sekiranya air naik lebih tinggi.
"Penduduk-penduduk yang mempunyai bot sendiri, mereka sudah berpindah semalam.
"Semalam saya lakukan lima trip bagi mengeluarkan penduduk manakala hari ini sudah lebih 10 trip dan masih berterusan,” katanya.