SABAN tahun, beberapa negeri khususnya di Pantai Timur akan berdepan dengan Monsun Timur Laut (MTL) yang menyebabkan hujan lebat sehingga berlakunya banjir.
Terkini pada Rabu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Sabah meningkat daripada 25,351 orang kepada 25,849 orang.
Lebih menyedihkan, terdapat tiga kematian akibat banjir di Kelantan melibatkan seorang kanak-kanak lelaki di Kota Bharu dan dua kanak-kanak perempuan di Pasir Mas.
Ada juga kalangan masyarakat yang kehilangan tempat berteduh kerana dihanyutkan arus deras semasa banjir ini berlaku.
Perkembangan yang berlaku ketika ini menimbulkan kebimbangan sekiranya keadaan terus bertambah buruk.
Selain kebimbangan bagi negeri-negeri terlibat, warga Lembah Klang juga seharusnya bersedia dengan sebarang kemungkinan.
Kejadian tersebut sepatutnya menjadi ikhtibar buat masyarakat dan agensi-agensi berkaitan bagi memperkasakan lagi persediaan menghadapi bencana.
Sebagai rakyat Malaysia, dengan pimpinan kerajaan yang baharu, sudah tentu kita tidak mahu melihat kejadian ini berulang lagi pada masa kini.
Justeru, melalui persediaan awal dapat membantu mangsa banjir membendung atau mengurangkan jumlah kerugian sekiranya terperangkap dalam bencana ini.
Antara langkah awal perlu dilakukan adalah dengan menyediakan kit kecemasan yang mengandungi keperluan penting seperti makanan, ubat-ubatan, pakaian dan alat pertolongan cemas.
Peranti pintar atau telefon bimbit juga perlu disimpan dalam beg plastik kedap udara dan kalis air agar ia kekal kering serta memudahkan sebarang komunikasi.
Bagi negeri-negeri yang sedang dilanda banjir, ibu bapa perlu memastikan anak-anak tidak bermain air kerana dibimbangi akan hanyut dan lemas selain mendatangkan kecederaan serta penyakit seperti taun.
Pada masa sama, pimpinan kerajaan juga diharapkan dapat bertindak segera bagi memastikan banjir ini tidak mendatangkan kesan yang teruk kepada penduduk yang terkesan.