SEPANG - Limau seberat 60 kilogram (kg) yang cuba dibawa masuk dari Pakistan tanpa permit import dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, rampasan itu dibuat dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kira-kira jam 7 petang.
Menurutnya, limau yang dibawa oleh sekumpulan warga Pakistan itu telah berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas kastam.
"Perbuatan mengimport produk pertanian tanpa permit yang sah dari Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau
keduanya.
Tegas Mohd Sobri, pihaknya akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke dalam Malaysia adalah bebas dari ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta tidak akan menjejaskan
sektor pertanian negara.