PASIR MAS - Banjir gelombang ketiga yang melanda lapan kampung Mukim Siram, di sini memberi rezeki berganda buat seorang penjual makanan ringan apabila cucuk sosej talamnya, habis dibeli dalam tempoh tiga jam.
Menurut Saida Fauzi, 55, beliau mula menjual makanan tersebut sejak dua hari lepas di Kampung Pohon Tanjong memandangkan kawasan tersebut menjadi lokasi transit penduduk yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
"Memang setiap kali banjir saya akan mengambil kesempatan berniaga di sini bersama dua orang anak dan dua pembantu.
"Hari ini kami mula berniaga 3.30 petang dan alhamdulillah dalam masa tidak sampai tiga jam semua jualan habis," katanya kepada Bernama, di sini semalam.
Saida berkata, permintaan tinggi daripada pelanggan terhadap jualannya mendorong beliau untuk menambah stok jualan sekali ganda hari ini.
"Untuk memudahkan urusan jualan, saya membawa keropok mentah yang telah siap dipotong dan pelbagai jenis makanan proses yang siap dicucuk. Bila sampai di tapak jualan, saya boleh terus goreng dan jual kepada pelanggan," kata ibu tunggal itu.
Beliau yang telah menjalankan perniagaan berkenaan lebih 10 tahun lepas sebagai sumber pendapatan utama, biasanya berniaga di pasar malam dan tapak ekspo.
Saida berkata, setiap kali banjir dia mampu meraih pendapatan lebih RM1,000 sehari melalui hasil jualannya itu.
Sementara itu, pelanggan Rohani Nawi, 58, berkata, beliau tertarik membeli sosej talam itu berikutan rasanya yang sedap.
"Tambah lagi kebanyakan pembeli kelaparan selepas mengharungi arus banjir," katanya. - Bernama