Anwar tiba di Kelantan untuk tinjau situasi banjir

Iklan
Anwar (kanan) mendengar taklimat situasi banjir yang diberikan oleh Pengarah APM Kelantan, Kol (PA) Mohd Adzhar Mujab sebaik tiba di LTSIP Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Khamis. - Foto Bernama
KOTA BHARU - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kelantan untuk meninjau sendiri situasi banjir negeri.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, di sini pada pukul 12.08 tengah hari.

Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad. Hadir sama Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus.

Dalam tinjauan di Pasir Mas hari ini, Perdana Menteri dijadualkan melawat Jambatan Lubok Jong serta dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang di Kampung Repek dan Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Lati di Kampung Banggol Manok.

Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada Khamis melaporkan Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 21,377 orang yang ditempatkan di 68 PPS di lima daerah, meningkat berbanding 19,423 orang pada pukul 8 malam tadi. - Bernama