BATU PAHAT -"Anak-anak mula bertanya tentang ibu mereka terutama pada waktu malam," luah Norhisham Samsusah, 36, yang merupakan kakak kepada Mira Sharmila, 34 atau Bella yang dilaporkan hilang sejak dua minggu lalu.
Norhisham berkata, dua anak Bella iaitu Eusoff, 4 dan Maream, 2, yang kini tinggal bersamanya seakan sudah merasakan kehilangan ibunya itu terutama ketika hendak tidur.
"Tiada apa yang lebih menyedihkan, bila anak-anak bertanya tentang ibu mereka. Antara pertanyaan Eusoff sehingga menyebabkan saya menitiskan air mana dan kelu lidah untuk memberikan jawapan adalah di mana mummy, kenapa tak jemput kami balik rumah?
"Sementara Maream pula hanya merengek seolah-olah mencari ibunya yang kebiasaannya akan mendodoikannya sebelum tidur," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Bercerita lanjut, Norhisham berkata, kebiasaannya Bella akan mengambil anak-anaknya yang ditinggalkan di rumahnya dan seorang pengasuh ketika waktu malam sebaik selesai membantu urusan perniagaan ibunya.
"Apa yang dapat dilakukan hanya memaklumkan kepada anak Bella, ibu mereka belum balik dari kerja dan akan pulang lewat menyebabkan mereka tidak dijemput untuk balik ke rumah.
"Kami sekeluarga tenang menunggu dengan penuh harapan kepulangan Bella. Sudah tentu anak-anak paling mengharapkan ibu mereka pulang dengan selamat," katanya.
Dalam pada itu, ibu Bella yang hanya mahu dikenali sebagai Ani juga merayu orang ramai dapat memaklumkan kepada pihaknya atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya sekiranya mengetahui kedudukan sebenar Bella pada masa ini.
"Sudah beberapa hari ibu juga tidak dapat berniaga kerana tiada pembantu yang selama ini tugasnya digalas oleh Bella," katanya.
Kehilangan Bella menyebabkan ahli keluarganya membuat dua laporan polis masing-masing pada 16 dan 18 Disember lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
Kehilangan Bella sejak hampir dua minggu lalu masih menimbulkan tanda tanya walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk bantuan pihak polis namun masih gagal menemui jejak wanita itu.
Bella dilaporkan keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada jam 11.50 malam pada 14 Disember lalu dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi.