Kartel manipulasi projek tender kerajaan amat serius - MCW

Iklan
Laporan Sinar Harian.

KUALA LUMPUR - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan penyiasatan berkualiti penting dalam usaha menangani isu-isu kartel dan rasuah termasuk melibatkan pendedahan yang dibuat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), pada Rabu.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, sebanyak 500 buah syarikat di Malaysia sedang berada di bawah penelitian MyCC kerana didakwa membentuk kartel untuk memanipulasi projek tender kerajaan disifatkan sebagai amat serius.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, strategi melibatkan pemilik syarikat berkahwin dengan beberapa isteri dan menggunakan nama mereka sebagai proksi memberikan impak negatif terhadap persaingan yang adil.

"Penipuan cara ini sama besarnya dengan ancaman rasuah.

Mengulas lanjut, Jais berkata, strategi yang lebih ampuh diperlukan untuk menangani isu berkenaan.

Iklan

Katanya, isu kartel melibatkan aspek yang kompleks dan memerlukan pemahaman mendalam daripada pelbagai perspektif.

Tegas beliau, kes-kes yang berulang kali dilaporkan mengenai kartel memanipulasi tender kerajaan adalah amat mengecewakan terutamanya ketika ramai rakyat sedang berdepan kegawatan ekonomi yang serius.

Iklan

"Hanya tindakan yang cepat dan tegas untuk membanteras isu-isu ini dapat meredakan hati rakyat dan memupuk persekitaran perniagaan yang telus serta bertanggungjawab untuk kesejahteraan negara," katanya lagi.

Dalam pada itu, Jais berharap pasukan pakar forensik pelbagai agensi dapat mengesan dan memberikan impak besar dengan tindakan perundangan yang lebih tegas.

Selain itu, pasukan forensik terbabit juga perlu bekerjasama dengan agensi penguatkuasa undang-undang untuk meningkatkan keberkesanan pencegahan dan tindakan yang tegas dapat dilakukan segera.

"Perlindungan kepada pemberi maklumat perlu diperkemaskan. Jaminan keselamatan kepada mereka akan merangsang lebih ramai individu untuk melaporkan aktiviti mencurigakan.

"Usaha ini adalah tanggungjawab bersama. Penglibatan awam dan program kesedaran berterusan tentang kepentingan integriti dapat membina tekanan yang positif untuk mencapai ketelusan dan pertanggungjawaban yang diinginkan," katanya.

Semalam Astro AWANI melaporkan lebih 500 syarikat kini berada di dalam 'radar' MyCC kerana dipercayai membentuk 'kartel' untuk membida tender projek kerajaan.

Antara modus operandi adalah, ada pemililik syarikat sanggup berkahwin empat untuk membina empayar sendiri, yang membolehkan mereka menggunakan nama isteri dan saudara-mara yang dipercayai sebagai proksi.