APM Pahang bantu kumpul sumbangan mangsa banjir Pantai Timur

Iklan
Che Adam (kanan) meninjau antara barangan yang disumbangkan pelbagai pihak kepada mangsa banjir melalui Pusat Pengumpulan Barangan Sumbangan Bencana Pantai Timur di Pejabat APM Pahang.

KUANTAN - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang mengambil inisiatif mewujudkan Pusat Pengumpulan Barangan Sumbangan Bencana Pantai Timur bermula Rabu lalu.

Pusat pengumpulan berkenaan dibuka di Ibu Pejabat APM Pahang, Jalan Beserah di sini.

Iklan
Iklan

Pengarah APM Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi mengumpul barangan sumbangan pelbagai pihak untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang secara lebih tersusun dan sistematik.

Menurutnya, langkah itu juga bagi memudahkan proses pengagihan bantuan berdasarkan keperluan selain mengelak berlaku lambakan sumbangan di satu-satu kawasan.

Iklan
Che Adam (dua dari kiri) meninjau persiapan yang dijalankan di Pusat Pengumpulan Barangan Sumbangan Bencana Pantai Timur di Pejabat APM Pahang pada Khamis.

"APM Pahang membuka peluang kepada organisasi swasta, syarikat, agensi, yayasan, mahupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat untuk menyumbang barangan keperluan yang sesuai melalui pusat ini.

"Semua barang sumbangan boleh dikumpulkan di sini dan kita akan selaraskan proses penghantaran serta agihan menggunakan logistik sedia ada dengan kerjasama wakil dari negeri-negeri terlibat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat APM Pahang di sini pada Khamis.

Che Adam berkata, dengan wujudnya pusat sedemikian, pemilihan barangan sumbangan dapat ditentukan mengikut keperluan.

Che Adam (dua dari kanan) bersama barangan sumbangan pelbagai pihak yang dikumpulkan di Pusat Pengumpulan Barangan Sumbangan Bencana Pantai Timur di Pejabat APM Pahang.

"Berdasarkan pengalaman dalam menghadapi bencana yang lepas, ada sesetengah mangsa dilambakkan dengan bantuan makanan sedangkan ketika itu mereka juga memerlukan barangan lain termasuk tuala wanita dan sebagainya.

"Sebab itu, kita adakan pusat ini supaya barangan sumbangan yang dikumpulkan mengambil kira kepada keperluan mendesak.

"Antara cadangan keperluan barangan sumbangan bencana termasuk makanan kering, makanan dalam tin, minuman kesihatan, tuala, kain sarung, telekung, keperluan kit kebersihan diri, tuala wanita, sabun, susu tepung bayi, lampin pakai buang, keperluan persekolahan dan lain-lain keperluan," katanya.

Tambah beliau, bagi mereka yang berminat untuk menghulurkan bantuan, boleh berhubung dengan pegawai penyelaras di talian 013-9384991 (Kapten Zaubidah) dan 019-909 3694 ( Lt Norisman).

"Pada masa sama, sumbangan juga boleh dikumpulkan di peringkat komuniti dan maklumkan kepada pihak APM Pahang untuk proses kutipan," katanya.