Penduduk lapor polis aktiviti menuba ikan

Iklan
Ikan yang mati dipercayai kesan daripada aktiviti menuba di hulu Sungai Pengau.

JERANTUT - Penduduk Kampung Pagi, Ulu Tembeling di sini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut dan Pejabat Perikanan Jerantut susulan aktiviti menuba ikan yang berlaku di hulu Sungai Pengau.

Wakil penduduk, Mohd Zulhaqim Zakaria, 26, berkata, aktiviti menuba ikan itu dipercayai dilakukan sekumpulan lelaki yang datang ke lokasi dengan menaiki dua buah kenderaan pada 28 Disember lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia dan penduduk lain ada menemui lima lelaki di hulu sungai kira-kira jam 12 tengah hari pada 28 Disember.

"Pada hari itu, kami datang ke sungai untuk menjala ikan dan ketika ingin pulang, kami nampak ada banyak ikan timbul di permukaan air. Ketika itu, kami syak ada aktiviti menuba dilakukan di sini.

Iklan

"Kumpulan lelaki itu kemudiannya melarikan diri selepas kami mengetahui aktiviti mereka. Saya difahamkan sebelum ini, mereka juga pernah menuba ikan di sungai ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung insiden tersebut dan siasatan segera akan dilakukan.

Iklan
Mohd Zulhaqim (depan, dua dari kiri) bersama penduduk menunjukkan laporan polis yang dibuat mereka.