APABILA pempengaruh media sosial, Aisyah Hijanah mendedahkan bahawa dirinya menerima 100 peratus harta sepencarian bersama suami, Mohd Hazalif Mohd Hazani, ramai memuji tindakannya.
Ia membuka mata banyak pihak tentang hak seorang isteri apabila suaminya memohon untuk berpoligami.
Mungkin ramai yang tidak sedar tentang perkara tersebut. Hanya apabila ada insan di sekeliling yang menghadapi situasi itu, barulah kita cakna tentangnya.
Peguam syarie Khairul Fahmi Ramli menjelaskan, isteri perlu pergi apabila dipanggil untuk ke mahkamah.
"Minta direkodkan nafkah diri ikut keperluan yang anda perlu. Kedua, minta juga direkodkan nafkah untuk anak-anak mengikut keperluan, bukan ala kadar,” katanya sebagaimana dikongsikan menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.
Tambahan pula katanya, perbicaraan kes harta sepencarian itu lazimnya mengambil tempoh masa panjang dan perlukan pelbagai bukti untuk perbicaraan.
"Namun begitu, bagi isteri yang dapat tuntutan poligami, anda diberi keistimewaan untuk minta hakim ‘declare’ (isytiharkan) sebagai perintah, apa sahaja harta yang suami anda ada sekarang sebagai harta sepencarian tanpa perlu bicara.
"Bahkan, anda boleh minta diisytiharkan satu perdua atau separuh bahagian milik anda walaupun suami yang beli 100 peratus. Orang lain yang hendak dapatkan satu pertiga bahagian pun sukar jika bicara kes harta sepencarian,” coretnya.
Fahmi menjelaskan, begitu pentingnya rekod harta sepencarian itu supaya ia tidak dikira sebagai pusaka dan perlu dibahagi secara faraid jika berlaku kematian suami.
"Ia melainkan anda dapat perintah harta sepencarian. Hendak dapatkan perintah satu perdua bahagian, anda perlu ada bukti yang anda juga ada sumbangan langsung terhadap pembelian rumah tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, andai tiada rekod berkenaan, ujar konsultan undang-undang syariah itu, rumah dan segala harta tersebut akan dibahagikan secara faraid.
Jika ada anak, katanya, bahagian faraid isteri tadi adalah satu perlapan.
"Namun, jika suami anda berpoligami, mungkin dua isteri, bahagian anda akan jadi satu perenam. Itu belum kira suami ada tiga atau empat isteri. Lagi kecil bahagian pusaka anda.
"Tidak semena-mena anda terpaksa naik turun mahkamah hanya untuk ‘declare’ (isytihar) hantar sepencarian dan lawan berlawan dengan semua ahli waris,” ungkapnya.
Lain pula ceritanya andai isteri diceraikan sewaktu hidup.
Fahmi berkata, wanita tersebut perlu melantik peguam untuk memfailkan harta sepencarian.
"Itu pun jika harta itu masih ada. Kalau rumah sudah dijual sebelum cerai, jenuhlah anda naik turun mahkamah.
"Jangan pergi ke mahkamah dalam keadaan yang anda tak tahu apa-apa. Sangat rugi,” ujarnya.