SHAH ALAM – Pemaju hartanah terkemuka, IJM Land meneruskan komitmen untuk memenuhi tanggungjawab sosial korporat mereka dengan menganjurkan Angel Tree Charity Night untuk anak-anak yatim Pusat Jagaan Shekinah di Kelab S2, Seremban, baru-baru ini.
Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad, Chai Kian Soon berkata, untuk meraikan perayaan Krismas, acara amal tersebut memenuhi senarai hajat anak-anak yatim sambil mencipta kenangan yang tidak akan dilupakan menerusi pelbagai aktiviti yang menyeronokkan.
Kian Soon berkata, IJM Seremban 2 telah mengaturkan sesi makan malam, sesi permainan dan persembahan Krismas yang mempesonakan.
"Ahli Kelab S2 turut dijemput untuk menyumbang dan menyertai sesi penyampaian hadiah bagi memenuhi hasrat kanak-kanak.
"IJM Land sentiasa bersama masyarakat melalui kerjasama rapat mereka dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekali gus memberikan perubahan yang bermakna bagi mereka yang kurang bernasib baik.
"Sambil kita meraikan musim perayaan ini, ia merupakan tanggungjawab kita untuk berkongsi kegembiraan dengan mereka yang kurang bernasib baik dan program Angel Tree Charity Night merupakan salah satu inisiatif kami untuk mengukirkan senyuman pada wajah-wajah mereka yang memerlukan,” kata Kian Soon dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, program Angel Tree Charity Night merupakan sambutan untuk meraikan perasaan belas kasihan, komuniti, dan permulaan baharu.
"Kami di IJM Land bertekad untuk meneruskan tradisi ini demi mewujudkan perubahan yang berkekalan dalam komuniti,” ujar Kian Soon.
Program Angel Tree Charity Night, tradisi yang bermula pada tahun 2016, membuktikan dedikasi IJM Land dalam usaha mereka untuk memberi kembali kepada masyarakat Seremban.
Setakat ini, IJM Land meraikan 150 kanak-kanak dan program itu kekal sebagai sebahagian yang penting dalam inisiatif amal tahunan IJM Land.
"Ketika kita menyambut ketibaan tahun yang baharu, marilah kita berganding bahu untuk mendatangkan perubahan dan meraikan musim perayaan ini dengan penuh kemesraan, kebaikan, dan kegembiraan,” kata Kian Soon.