JOHOR BAHRU - Seorang lelaki berputih mata apabila menanggung kerugian sebanyak RM252,900 selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan sambilan dalam talian.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M.Kumar berkata, lelaki berusia 57 tahun yang tidak bekerja itu membuat laporan polis pada 21 Disember lepas dan mendakwa ditawarkan pekerjaan oleh seorang individu yang membuat panggilan menerusi aplikasi WhatsApp.
Beliau berkata, individu itu menjanjikan pulangan yang tinggi serta cepat dan mudah, sekiranya mangsa memuat naik video yang diarahkan di laman sosial serta menekan"like” di pautan yang diberikan.
"Mangsa mengikut arahan individu tersebut termasuk membuat bayaran berjumlah sebanyak RM252,900 ke beberapa akaun yang diarahkan.
Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu apabila tidak menerima sebarang pulangan yang dijanjikan, selain turut diarahkan membayar wang tambahan bagi mendapatkan keuntungan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu bagi kes berlainan, Kumar berkata seorang pesara syarikat swasta berusia 69 tahun mengalami kerugian sebanyak RM242,620 kerana menjadi mangsa"Love Scam”.
Beliau berkata, lelaki itu membuat laporan polis semalam dan mendakwa berkenalan dengan seorang individu dari luar negara menerusi laman sosial dan ditipu setelah sebulan mengenalinya.
Menurutnya, individu tersebut berhasrat untuk bekerja di Malaysia dan telah membuat panggilan kepada mangsa memaklumkan bahawa dirinya telah ditahan Jabatan Imigresen Malaysia, dipercayai kerana membawa wang tunai yang banyak dan tidak membuat pengisytiharan.
"Ekoran itu, individu tersebut meminta bantuan mangsa untuk melepaskannya dari tahanan dengan mengarahkan mangsa membayar wang tersebut ke beberapa akaun sebelum gagal dihubungi,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kumar turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada terutama melibatkan urusan transaksi kewangan dan mengikuti laman Facebook serta TikTok Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bagi mendapatkan maklumat berkaitan modus operasi jenayah komersial seperti penipuan pelaburan. - Bernama