KUALA LUMPUR - Penduduk Kampung Setia Jaya dekat sini dibenarkan untuk terus tinggal di sana sehingga isu penempatan mereka selesai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bersama pemilik tanah iaitu Yayasan Pendidikan Tunku Abdul Rahman (TAR) yang diwakili Lim Keng Cheng dan Yew Teong Look.
Menurutnya, perbincangan tersebut menunjukkan perkembangan positif dan pihaknya yakin isu terbabit dapat diselesaikan dengan baik setelah tertangguh selama lebih 30 tahun.
"Berdasarkan hasil perbincangan tersebut, pihak Yayasan Pendidikan TAR secara prinsipnya tiada halangan untuk membenarkan penduduk terus berada di Kampung Setia Jaya sementara isu penempatan penduduk diselesaikan," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Khamis.
Pertemuan berlangsung di Putrajaya itu turut dihadiri Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan dan Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Zaliha berkata, perbincangan turut memberi fokus kepada isu penggantian rumah kepada penduduk.
"Solusi terbaik akan diperincikan dengan lebih lanjut. Perbincangan susulan akan diadakan bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan seberapa segera," katanya.
Pada 19 Disember lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan penduduk Kampung Setia Jaya perlu mengosongkan tanah itu dalam tempoh 18 bulan, susulan keputusannya memberi pemilikan tanah kepada Yayasan Pendidikan TAR.
Susulan keputusan itu, penduduk memohon campur tangan kerajaan untuk membantu mereka yang mendakwa telah menduduki perkampungan itu lebih 30 tahun.