PASIR MAS - Seorang pemandu ambulans sanggup mengeluarkan belanja sendiri membeli sebuah bot bagi melaksanakan hasrat membantu penduduk kampung berpindah ketika banjir melanda Kampung Siram dekat sini sejak Selasa lalu.
Mohd Bakri Deraman, 38, berkata, bot fiber sepanjang 3.7 meter yang dilengkapi enjin 6.5 kuasa kuda (hp) itu dibeli dengan harga kira-kira RM2,000 sejak tiga tahun lalu.
"Penduduk cemas untuk menyelamatkan diri, jadi saya membantu membawa mereka dengan bot untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Siram pada Khamis.
Bapa kepada empat anak yang turut berlindung bersama keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong itu juga berkhidmat sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) sejak 2011 dan kini berpangkat Lans Koperal (PA) Bahagian Penyelamat di Pusat Kawalan Operasi Daerah Pasir Mas.
Menurutnya, selain memandu ambulans APM, dia juga pemandu bot pasukan itu dan menggunakan kemahiran serta pengalaman bekerja untuk membantu penduduk kampungnya.
"Sesetengah penduduk mempunyai bot sendiri dan bagi yang tidak mempunyai bot, mereka memerlukan pertolongan, jadi saya membantu tanpa sebarang bayaran.
"Saya akan keluar menolong mereka pada hari tidak bekerja manakala waktu kerja saya turut menyelamatkan mangsa-mangsa banjir di banyak kawasan bersama rakan sekerja yang lain,” katanya.
Mohd Bakri berkata, dia mengutamakan keselamatan penduduk yang dibantu dengan memastikan mereka memakai jaket keselamatan lebih-lebih lagi apabila banjir mencecah 0.5m hingga 3m di sesetengah kawasan ketika ini kampung itu.
"Dengan bot kecil saya ini juga dapat membantu masuk ke laluan-laluan sempit yang tidak dapat dilalui bot-bot bersaiz besar.
"Jadi, usaha menyelamat dapat dilakukan dengan segera selain dapat mengelak arus deras apabila tahu memilih laluan yang betul,” katanya.