TEGAS dan berdisiplin namun penuh kasih sayang.
Itulah sikap legenda bola sepak negara Allahyarham Shaharuddin Abdullah yang meninggal dunia akibat penyakit asma di Hospital Taiping pada Khamis.
Menurut anak keenamnya yang juga penyerang Kuala Lumpur Rovers, Shafiq Shaharuddin, 29, ayahnya sentiasa tegas dalam setiap keputusan terutamanya ketika menasihati anak-anak.
"Ayah telah menderita sakit sejak dua tahun lalu, namun dalam sakit-sakitnya tu dia sangat mengambil berat tentang keluarga dan cucunya malah sejak kebelakangan ini beliau sentiasa mahu bersama anak-anaknya.
"Beliau juga merupakan 'penasihat' paling utama dalam kerjaya saya sebagai pemain bola sepak.
"Saya akan minta nasihat daripada beliau tentang apa jua, kini semuanya tinggal kenangan,” katanya ketika ditemui pada Khamis.
Shaharuddin, berasal dari Bagan Dalam, George Town, Pulau Pinang, merupakan penjaring gol sulung Malaysia di Sukan Olimpik Munich, Jerman pada 1972.
Beliau yang turut diberi julukan 'The Black Cat' dan 'Sharpshooter' menyarung jersi Malaysia sekitar 1967 hingga 1981 dan pernah membantu pasukan negara membawa pulang gangsa dalam Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran.
Shaharuddin juga adik kepada bekas kapten Harimau Malaya, Datuk Namat Abdullah, yang meninggal dunia pada Disember 2020 akibat barah usus.
Sementara itu, Shafiq berkata, walaupun beliau dan enam adik-beradiknya yang lain berasa amat sedih atas pemergian bapa tercinta, mereka menganggap ia suratan takdir atau ketentuan daripada ALLAH SWT.
"Cumanya saya sedikit ralat sebab semalam saya dah ada di Taiping, namun selepas dimaklumkan ayah akan pulih dalam beberapa hari maka saya ambil keputusan untuk pulang ke Johor.
"Apabila dah sampai di Johor, saya terima panggilan daripada kakak menyatakan ayah sudah tenat dan saya tak sempat berada di sisinya pada saat akhir.
"Mungkin ada hikmahnya sebab saya balik (ke Johor) untuk bawa anak isteri ke pengebumian ayah,” katanya.
Shafiq mendedahkan, beliau sebenarnya tidak pernah melihat sendiri arwah bermain bola sepak dan hanya menonton aksi bapanya menerusi video.
Bagaimanapun katanya, Allahyarham adalah idola dan pendorongnya selain Allahyarham Namat atau dipanggil Pak Long yang kerap mengikuti perkembangan kariernya.
"Dua insan ini begitu dekat dengan saya, setiap nasihat mereka masih terngiang di telinga.
"Antara nasihat terakhir Allahyarham adalah supaya menjaga ahli keluarga dan carilah pekerjaan yang menjamin keperluan keluarga selepas tidak lagi bergelar pemain bola sepak,” katanya.
Dalam pada itu, peminat Shaharuddin, Rus Bakar Ruraini Shafie, 65, berkata, beliau mendapat perkhabaran Allahyarham dimasukkan ke hospital dan berusaha datang ke Taiping untuk melawat.
"Saya meminati The Black Cat sejak berusia 11 tahun kerana tiada pemain penyerang seperti beliau sebelum munculnya Allahyarham Mokhtar Dahari, bermula dari pemain tengah kemudian sebagai penyerang berbisa.
"Saya dah lama memasang niat nak berjumpa namun tidak kesampaian juga setelah diberitakan Allahyarham telah meninggal dunia, satu kehilangan besar buat arena sukan bola sepak negara,” katanya. - Bernama