JAKARTA - Ratusan penuntut universiti di wilayah paling barat Indonesia tidak lagi boleh menahan sabar apabila mereka nekad menyerbu pusat perlindungan sementara pelarian Rohingya pada Rabu.
Kumpulan pelajar itu yang turut memakai jaket dengan lambang universiti berbeza menggempur Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Banda Aceh yang menempatkan kira-kira 137 etnik Rohingya.
Wakil penuntut itu menuntut kumpulan pelarian tersebut dipindahkan ke pejabat imigresen tempatan bagi proses deportasi.
Mereka turut melaungkan slogan mengusir golongan itu yang dikatakan semakin bermaharajalela di wilayah berkenaan.
Susulan daripada tindakan itu, beberapa wanita dan kanak-kanak Rohingya menangis demi meraih simpati orang ramai.
Pada awalnya, insiden pergelutan dilaporkan tercetus antara penuntut institusi pengajian tinggi dengan anggota polis sebelum pegawai atasan mereka kemudiannya membenarkan tindakan pengusiran tersebut.
Kumpulan pelajar itu juga menyediakan trak untuk memindahkan pelarian Rohingya berkenaan ke sebuah lagi pejabat kerajaan berhampiran.
Pelarian Rohingya berkenaan yang akur diusir dari dewan itu dilihat membawa barangan milik mereka dalam bungkusan plastik.
'NAIK LEMAK'
Suruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) bagaimanapun kurang senang dengan kejadian itu yang didakwa menyebabkan pelarian terbabit terkejut dan trauma.
"Kami amat bimbang dengan keselamatan golongan itu dan menggesa pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera untuk melindungi mereka.
"Tindakan itu bukanlah kes terpencil kerana ia adalah hasil daripada kempen hasutan dalam talian yang menyebarkan maklumat salah tentang pelarian Rohingya,” ujar UNHCR dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, kebanyakan penduduk Aceh menerima golongan itu dengan tangan terbuka atas dasar simpati terhadap nasib mereka yang ditindas secara kejam di Myanmar.
Bagaimanapun, situasi itu berubah sejak akhir-akhir ini selepas komuniti setempat mendakwa pelarian Rohingya semakin 'naik lemak' dan sengaja terlibat konflik dengan mereka.
"Kami mengadakan bantahan ini kerana tidak bersetuju dengan tindakan pelarian Rohingya yang berterusan mendarat di sini,” kata Kholilullah, 23.
Sementara itu, seorang pelajar yang dikenali sebagai Wariza Anis Munandar, 23, menuntut penghantaran pulang pelarian Rohingya.
"Mereka datang ke sini tanpa diundang dan berasa seperti negara mereka sendiri,” tegas seorang lagi rakannya, Della Masrida, 20.
Baru-baru ini, Presiden Joko Widodo atau Jokowi mendakwa lonjakan ketibaan tersebut berpunca daripada sindiket pemerdagangan manusia yang semakin berleluasa dan menabur janji manis kepada golongan berkenaan.
Ketibaan mereka dijangka terus meningkat antara November dan April apabila keadaan laut lebih tenang dan destinasi pilihan mereka juga adalah Malaysia serta Thailand. - Agensi