Gibran tunjuk taring?

Iklan
Gibran

MOHAMAD Mahfud Mahmud atau lebih dikenali sebagai Mahfud MD bukan sebarangan orang.

Berusia 66 tahun, anak kelahiran Pulau Madura ini adalah seorang sarjana, hakim dan ahli politik terkenal Indonesia.

Iklan
Iklan

Beliau pernah menjadi Menteri Pertahanan, Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia, Ketua Hakim Mahkamah Konstitusi (MK) yang merupakan mahkamah tertinggi Indonesia dan kini menjadi Menteri Koordinasi Politik, Hukum dan Keamanan.

Abdul Muhaimin Iskandar atau lebih dikenal sebagai Gus Imin, 57, merupakan anak kelahiran Jombang, Jawa Timur.

Iklan

Beliau pernah menjadi Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi sewaktu pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Kini beliau Wakil Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

Iklan

Gibran Rakabuming Raka (Gibran) merupakan anak sulung Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Dilahirkan pada tahun 1987, beliau mendapat pendidikan awal di Indonesia, kemudian belajar di Singapura dan Australia.

Beliau terbabit dalam pelbagai perniagaan.

Pada tahun 2020 beliau memenangi pertandingan untuk jawatan Wali Kota Solo dengan menewaskan Bagyo Wahyono.

Di kerusi yang sama, ayahnya, Jokowi mencipta nama dalam bidang politik.

Secara rasmi, apabila diumumkan nama-nama calon wakil presiden (timbalan presiden atau pendekannya cawapres), Gibran dilihat tidak lebih daripada seorang anak hingusan berbanding Mahfud MD dan Muhaimin.

Tambahan pula MK yang ketua hakimnya adalah bapa saudaranya sendiri secara kontroversial telah membenarkan sesiapa sahaja di bawah usia 40 tahun untuk menjadi cawapres.

MK dituduh membenarkan ‘Dinasti Jokowi’ menjadi kenyataan.

Ketua hakim MK disingkirkan tetapi keputusan MK dikekalkan.

Banyak orang berpendapat Gibran bukan saingan Mahfud atau Muhaimin.

Mohamad Mahfud

Lagipun Gibran kelihatan menjauhkan diri daripada sebarang dialog dan debat terbuka selepas dicalonkan.

Pada waktu yang sama beliau membuat beberapa kenyataan yang menjadi bahan sindiran dan parodi di media sosial.

Gibran diberikan pelbagai gelaran termasuk ‘anak mami’ (ibu), ‘belimbing sayur’, ‘asam sulfat’, ‘anak nepotisme’ dan macam-macam lagi.

Pada malam Jumaat lepas, tiga orang cawapres bertemu dalam debat mereka pertama, temanya ekonomi.

Debat itu mengejutkan semua orang.

Berdasarkan penelitian beberapa buah firma yang menganalisis debat itu Gibran adalah ‘bintang’ yang paling ‘menguasai panggung’.

Gibran juga muncul dengan sosok berbeza daripada imej publiknya sebelum ini.

Dia juga mencuri panggung daripada aspek artikulasi.

Abdul Muhaimin

Muhaimin dijangka membawa obor Anies Baswedan, capres yang mendukungnya.

Mahfud yang merupakan cawapres gandingan Prabowo Sabianto dianggap orang yang lebih dipercayai disebabkan pengalaman kerja dan kemampuannya berhujah.

Tetapi malam itu Gibran menunjukkan taringnya yang sebenar.

Gibran yang dari awalnya diramalkan akan dibelasah teruk di pentas debat ternyata menampakkan kekuatan yang tersendiri.

Malah beliau dianggap anak muda yang berjaya ‘mematahkan leher’ dua orang veteran saingannya.

Ini bukan bermaksud bahawa Gibran disukai oleh semua orang.

Malah ada yang berkata ada masa ya beliau berbohong sewaktu memberikan faktanya.

Pilihan raya presiden (pilpres) kali ini adalah perang yang harus dimenangi di media sosial.

Bilangan Generasi Z dan millennials yang yang bakal mengundi cukup luar biasa jumlahnya, dianggarkan 127 juta orang daripada 204.8 juta rakyat yang layak mengundi.

Generasi ini rata-rata mendapat maklumat hanya dari media sosial.

Maka itu reaksi, narration dan ekspresi cawapres itu diteliti dengan cukup cermat.

Untung

Saya berpendapat format debat ini lebih menguntungkan orang muda seperti Gibran.

Mahfud dan Muhaimin adalah juara di pentas terbuka dan petah dalam dialog dan wacana yang akademik dan serius.

Tetapi dengan format tiga, dua dan satu minit untuk menjawab atau menanyakan soalan, terasa sangat mereka berdepan dengan masalah.

Muhaimin misalnya mahu menghujahkan bahawa penyamarataan pembangunan 40 kota di seluruh Indonesia lebih utama dari membina sebuah ibu kota baharu, Nusantara.

Tetapi mesejnya tidak jelas disebabkan waktu.

Begitu juga beberapa penjelasan Mahfud terjejas oleh sebab masa tidak mengizinkan.

Muhaimin juga menyebut perkataan Jawa, ‘slepet’ tidak kurang 15 kali.

Slepet dalam konteks ini dimaksudkan sebagai kiasan bagi menggambarkan ketidakadilan dalam ekonomi.

Beliau menyebutkan ungkapan slepet-nomics yang bermaksud menangani keadaan curang dan tidak adil sebagai teras pembangunan ekonomi masa hadapan.

Tetapi dalam masa singkat, ia tidak dapat dihujahkan dengan baik.

Dalam konteks ekonomi digital pula tentunya orang muda seperti Gibran lebih petah dan berfokus.

Pada satu ketika Gibran menanyakan Muhaimin tentang ‘SGIE’.

Akronim ini menurut Gibran adalah state of global Islamic economy.

Akronim ini sama sekali tidak popular termasuk dalam kalangan ahli ekonomi sendiri.

Tambahan pula Gibran menyebut empat huruf itu dalam loghat bahasa Indonesia dan bukan Bahasa Inggeris lalu tambah mengelirukan keadaan.

Muhaimin seperti banyak orang lain tidak memahami akronim itu.

Secara jujur saya menganggap Mahfud dan Muhaimin lebih kental dengan misi dan hujah malam itu.

Tetapi Gibran nampaknya mengisi ruang dengan kepetahan dan dramanya yang tersendiri.

Ada kalanya orang melupakan substance tetapi teruja dengan gaya dan persembahannya.

Ini adalah Gibran yang lain.

Dalam debat seperti ini, persona ada kalanya lebih penting daripada idea, isi atau substance.

Gibran Rakabuming Raka (tengah) mempamerkan kepetahannya ketika sesi debat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta pada 22 Disember lalu.

Lebih menarik lagi, pada penghujung debat itu, Gibran mengakui berasa amat bangga berdiri di pentas bersama-sama dua tokoh besar itu.

Beliau kemudiannya tunduk sambil berjabat tangan dengan mereka.

Penutup adegan yang dramatik tentunya.

Gibran tidak menang hujah malam itu tetapi menang hati dan perasaan banyak orang, mungkin juga termasuk yang membenci dan mencurigainya selama ini.

* Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak mengikuti perkembangan politik Indonesia