KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga wartawan hiburan Siti Nor Hafiza Kamarudin yang meninggal dunia di London pada Khamis.
"Malam ini saya menerima khabar duka. Beliau telah meninggal dunia. Saya ucapkan takziah buat keluarga Allahyarhamah Fiza Kamaruddin. Semoga keluarga Allahyarhamah tabah dengan ujian yang berat ini. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook malam tadi.
Iklan
Iklan
Sebelum itu, suaminya Mohd Roshdi Ramli memaklumkan kepada Bernama bahawa isterinya menghembuskan nafas terakhir pada jam 3 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia).
Siti Nor Hafiza, 40, sebelum itu dirawat di Hospital Charing Cross, London selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow semalam untuk pulang ke Malaysia selepas bercuti.
Wartawan portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU Media itu terpilih menerima tajaan pakej melancong bersama keluarga ke London dan berlepas bersama suaminya Mohd Roshdi dan dua cahaya mata mereka pada pertengahan bulan ini. - Bernama