INISIATIF penganjuran Run The Track bertujuan mengangkat larian trek agar lebih ramai anggota komuniti dapat menyertai acara tersebut pada masa depan.
Malah, jurucakap penganjur BukanRunClub, Mohd Ikmalul Imtihan Zainal Abidin berkata, usaha itu juga secara tidak langsung bertujuan mempromosi larian trek kepada komuniti dan kelab-kelab larian di negara ini.
Jelasnya, kewujudan kelab-kelab larian baharu selepas pasca Covid-19 merancukan arena larian tempatan.
Namun begitu katanya, kebanyakan memberi fokus tinggi kepada larian jalan seperti Marathon dan Half Marathon menyebabkan larian trek tidak mendapat sambutan dan pendedahan seperti larian jalan.
"Banyak private company pun fokus kepada anjuran larian jalan, walhal kalau diikutkan juara-juara dunia marathon pada masa kini semuanya berasal dari pelari trek.
"Jadi ini inisiatif kita laksana untuk mengangkat larian trek supaya dapat pendedahan dan penyertaan dari kelab-kelab dan komuniti larian yang semakin berkembang,” katanya yang berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) atas kerjasama penyediaan venue.
Sebagai rekod, Run The Track dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Seksyen 15, Bangi bermula jam 7.30 malam hingga 11.30 malam pada Sabtu ini.
Mengenai keunikan acara ini, dia berkata, ini merupakan program pertama yang melibatkan tiga kategori iaitu 3000 meter (Beginner), 5000 meter (Terbuka) dan 5000 meter (Elite)
"Kita tidak mahu orang datang hanya untuk tengok pelari elit sahaja berlari, jadi kita minta kelab-kelab dan komuniti hantar wakil mereka, kita mendapat penyertaan dari Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang.
"Kategori elit pula adalah kategori jemputan, di mana kita jemput pelari pelari laju yang sedang prime di arena larian Malaysia untuk bertanding,” katanya.
Kejohanan anjuran BukanRunClub dengan kerjasama Working Class Champs dan The Running Saga.
Larian ini juga mendapat kerjasama dengan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Hulu Langat dan Majlis Belia Daerah Hulu Langat.
Tambahnya, pihaknya juga berbangga kerana Dirigo Events iaitu penganjur acara marathon terbesar Malaysia iaitu Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon menjadi penyokong utama program ini.
"Kami juga mendapat sokongan penaja-penaja kategori iaitu Finisher Stroke, Lai Coffee, BeetBeetRoot, Sports Cardio Malaysia dan Team Purpose selain penaja produk antaranya Oakley, Oatside dan Kahf,” katanya.
INFO
Run The Track
Kategori Lelaki
• 3000 meter Beginner
• 5000 meter Terbuka
• 5000 meter Elite (Jemputan)
Hadiah
• 3000 meter Beginner
RM100, RM80 dan RM50
• 5000 meter Terbuka
RM300, RM200, RM100
• 5000 meter Elite
RM500, RM400, RM300
Kategori Perempuan
• 3000 meter Beginner
• 5000 meter Terbuka
• 5000 meter Elite (Jemputan)
Hadiah
• 3000 meter Beginner
RM100, RM80 dan RM50
• 5000 meter Terbuka
RM300, RM200, RM100
• 5000 meter Elite
RM500, RM400, RM300