LIVERPOOL menamatkan separuh pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini sebagai juara susulan kekalahan Arsenal di tangan West Ham pada Jumaat.
Aksi di Stadium Emirates itu berkesudahan The Gunners tumpas 0-2 biar pun mendominasi sebahagian besar perlawanan.
Ia adalah kekalahan pertama anak buah Mikel Arteta di laman sendiri pada musim ini.
Kekalahan itu menyaksikan Liverpool terus berada di puncak EPL dengan kelebihan dua mata berbanding Arsenal yang mengutip 40 mata daripada 19 perlawanan.
Bagi penyokong Liverpool, kekalahan Arsenal umpama hadiah akhir tahun yang paling bermakna.
Rata-rata penyokong The Reds meminta penyokong Arsenal berhenti mempertikaikan keputusan pengadil Micheal Oliver yang mengesahkan jaringan Tomas Soucek pada minit ke-13.
Jaringan pertama West Ham itu mencetuskan persoalan sama ada bola daripada hantaran Jarrod Bowen telah terkeluar daripada garisan sebelum disempurnakan Soucek dari jarak dekat.
Video bantuan pengadil (VAR) mengambil masa tiga minit setengah untuk menentukan sama ada bola tersebut masih dalam permainan.
Bagaimanapun ulang tayang semula 15 minit selepas jaringan Soucek disahkan pengadil, Micheal Oliver memaparkan bahawa bola jelas terkeluar daripada garisan.
Pasukan pelawat menjaringkan gol kedua menerusi bekas pertahanan Arsenal dari Greece, Konstantinos Mavropanos m-55.
"Sudahlah Gunners, ini karma. Hari tu masa lawan Liverpool (Martin) Odegard pegang bola, sepatutnya penalti," kata penyokong, Zakwan Annyeonghaseyo.
"Ala rileks lah Arsenal, kena buli dengan VAR aje pun, lepas ni boleh pertimbang beli VAR kah..kah..kah," kata Aiman Hakim.
"Bola tak keluar habis lagilah. Masa lawan Liverpool Arsenal diam je," tambah Mohd Hilmi.
Arsenal bakal memulakan separuh kedua musim ini apabila bertandang ke Craven Cottage pada Ahad ini.
Liverpool pula diramal mengutip kemenangan apabila melayan kunjungan Newcastle United di Anfield pada 2 Januari nanti.