CORAK latihan lagenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek bukan biasa-biasa apabila anak didiknya wajib bangun awal pagi ketika orang lain masih lena diulit mimpi.
Senario tersebut menjadi rutin buat mana-mana pemain yang mahu mengorek ilmu jurulatih berusia 63 tahun itu.
Namun, alah bisa, tegal biasa jika ia sudah menjadi rutin tidak menjadi kesukaran lagi, malah ia menjadi pengalaman berharga buat mana-mana pemain yang pernah mendapat didikan Misbun.
Ia dibuktikan oleh tiga pemain remaja Thailand yang sanggup bersengkang mata bangun awal pagi demi menagih sentuhan ilmu lagenda itu.
Perkara itu dikongsi menerusi laman sosial kelab badminton Nusa Mahsuri pada Jumaat.
"Malah mereka semakin berkobar-kobar apabila memperolehi ilmu baharu di gelanggang yang disediakan oleh Misbun," catat Nusa Mahsuri menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Misbun meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas badan induk itu pada 28 Julai lalu memutuskan untuk menamatkan kontraknya lebih awal daripada tempoh ditetapkan.
Keputusan tersebut berkuatkuasa 1 Ogos selepas mesyuarat jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam dan dibantu Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berbanding kontrak asal Misbun berakhir hujung Disember.