TODAK Apprentice melantik tiga jurulatih profesional rasmi bagi melatih peserta sepanjang program itu berlangsung dalam usaha melahirkan pemain Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang berkemahiran dan berkeyakinan tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Todak Academy, Mohamad Taufik Rizal berkata, program tersebut diadakan setelah menerima permintaan yang tinggi daripada orang ramai untuk menyertai Todak sebagai pemain e-sukan.
"Kami berharap ia akan menjadi laluan terbaik untuk mereka yang berminat untuk mengejar kerjaya dalam MLBB,” katanya kepada Sinar Harian ketika Majlis Pengumuman Jurulatih Profesional Program Todak Apprentice pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin mewakili Sinar Harian yang merupakan rakan strategik Todak Academy.
Sebelum ini, pihak akademi memperkenalkan program itu kepada komuniti e-sukan pada 5 Disember lalu bagi memberi peluang kepada orang ramai menjadi pemain profesional MLBB.
Tambah Mohamad Taufik, Todak Academy turut memperkenalkan metodologi pembelajaran yang intensif dan berstruktur dalam Program Todak Apprentice.
Jelasnya, peserta akan mendalami mekanik permainan MLBB yang canggih dan strategi permainan untuk meningkatkan kawalan hero serta kedudukan semasa bermain.
"Selain itu, program ini juga menekankan peningkatan koordinasi dan kemahiran komunikasi dalam pasukan.
"Sepanjang tempoh latihan, program ini merangkumi tiga fasa iaitu menguasai asas, strategi pemain lanjutan dan kerjasama pasukan serta komunikasi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengasas Todak Holdings Sdn Bhd, Khairul Azlan Zainal Ariffin berkata, program itu akan membantu dan membimbing pemain untuk menjadi lebih arif dalam membentuk diri kearah yang lebih professional serta menjadikannya sebagai satu kerjaya.
"Teruskan mengikuti perkembangan kami untuk maklumat lanjut mengenai Program Todak Apprentice dan perkara menarik lain yang berkaitan dengan dunia e-sukan dan teknologi kreatif digital,” ujarnya.