Tiga anggota polis PGA didakwa curi wang RM85,000 dalam premis perniagaan

Iklan
Laporan Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Tiga anggota polis daripada Pasukan Gerakan Am didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencuri wang tunai berjumlah RM85,000 di sebuah premis perniagaan ketika menjalankan operasi bersepadu membanteras warga asing, Khamis lepas.

Lans Koperal Mohamad Adib Mohd Zafri, 35, Lans Koperal Mohamad Amirul Aiman Mamat, 26, dan Koperal Muhamad Hafiz Irsyad Mohd Nawi, 30, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Iklan
Iklan

Mereka didakwa dengan niat bersama mencuri wang milik NGWE Gabar Sdn Bhd, di tingkat satu premis berkenaan, di Jalan Lebuh Pudu Off Jalan Silang, pada jam 2.27 petang, 21 Disember lepas dan dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama serta dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun serta boleh dikenakan denda manakala bagi kesalahan kali kedua perlu dipenjara dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham berkata, pihaknya tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu dilakukan oleh penjawat awam semasa menjalankan amanah dan tugas mereka sebagai anggota.

"Perkara ini juga mendatangkan kegusaran kepada masyarakat awam berkaitan integriti serta tanggungjawab anggota keselamatan semasa menjalankan tugas,” katanya.

Iklan

Izzat Amir berkata, sekiranya mahkamah ingin mengenakan jaminan, pihaknya memohon jaminan tidak kurang RM30,000 dengan dua penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Sementara itu, peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Mohamad Adib dan Muhamad Hafiz memohon kedua-dua anak guamnya dikenakan jaminan rendah kerana mereka berpendapatan RM2,100 sebulan serta menanggung keluarga.

Peguam Khairunnisa Azzahrah Ghazalie yang mewakili Mohamad Amirul Aiman turut memohon jaminan rendah kerana anak guamnya yang menanggung ibu bapa yang sudah lanjut usia berpendapatan RM2,100 sebulan.

Aina Azahra menetapkan sebutan kes pada 6 Februari depan dan membenarkan jaminan RM17,000 dengan dua penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Pada 24 Disember lalu, ketiga-tiga anggota terbabit dirakam melakukan penggeledahan di premis berkenaan oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang, bagaimanapun tidak memasukkannya dalam laporan.

Hasil penahanan itu, difahamkan polis turut merampas wang tunai RM63,500, sebuah kereta Perodua Myvi, dua telefon bimbit dan resit pembayaran bagi pembelian tayar dan penyelenggaraan kenderaan. - Bernama