Penduduk Kampung Setia Jaya teruskan fail rayuan keputusan mahkamah

Iklan
Muhammad Syafiq

KUALA LUMPUR - Penduduk Kampung Setia Jaya akan meneruskan proses memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan tempoh 18 bulan bagi pengosongan tanah milik Yayasan Pendidikan Tunku Abdul Rahman (TAR) di sini.

Jurucakap Ahli Jawatankuasa Bertindak Kampung Setia Jaya, Muhammad Syafiq Noor Sham berkata, walaupun lega dengan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang penduduk dibenarkan tinggal di sana sehingga isu penempatan selesai namun tiada sabarang dokumen hitam putih daripada Yayasan Pendidikan TAR selaku pemilik tanah berhubung perkara itu.

Iklan
Iklan

Justeru menurutnya, permohonan rayuan tersebut akan dihantar sebelum 19 Januari tahun depan bagi tujuan perlindungan jika penduduk berdepan sebarang tindakan penguatkuasaan dalam tempoh tersebut.

Laporan Sinar Harian pada Khamis berkenaan ketetapan penduduk Kampung Setia Jaya dibenar terus tinggal di sana hingga isu penempatan selesai.

"Kami berterima kasih kepada Menteri yang menjadi orang perantara antara penduduk dengan pemilik tanah hingga membuat ketetapan membenarkan kami terus tinggal hingga isu penempatan selesai.

Iklan

"Bagaimanapun dari segi undang-undang, janji yang dibuat ini tidak boleh dijadikan bahan hujahan di mahkamah susulan KTAR telah mendapat perintah mahkamah bagi arahan pengosongan selama 18 bulan.

"Jadi penduduk kampung akan teruskan permohonan rayuan kerana tiada apa-apa dokumen yang boleh mengesahkan kami boleh terus tinggal di sini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Pada Khamis, Zaliha memaklumkan penduduk Kampung Setia Jaya dibenarkan untuk terus tinggal di sana sehingga isu penempatan mereka selesai.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bersama pemilik tanah iaitu Yayasan Pendidikan TAR yang diwakili Lim Keng Cheng dan Yew Teong Look.

Pada 19 Disember lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan penduduk Kampung Setia Jaya perlu mengosongkan tanah itu dalam tempoh 18 bulan, susulan keputusannya memberi pemilikan tanah kepada Kolej TAR di bawah Yayasan Pendidikan TAR.

Muhammad Syafiq dalam pada itu berharap, Yayasan TAR dapat menyediakan dokumen hitam putih yang menyokong penyataan dikeluarkan oleh menteri.

Pada masa sama katanya, penduduk memohon rundingan meja bulat dapat diadakan bagi mencapai penyelesaian terbaik isu penempatan.

Ujarnya, penduduk memohon supaya penempatan yang diberikan bersesuaian dengan kemampuan mereka yang kebanyakan terdiri B40 dan warga emas.

"Kami tidak minta banglo atau rumah mewah, cukup mengikut spesifikasi KPKT (Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan) 950 kaki persegi yang sesuai dengan kemampuan penduduk.

"Jika ditawarkan kondominium, kami bimbang penduduk akan berdepan masalah membayar yuran penyelenggaraan dan kos sampingan lain," katanya.