Pesara wanita rugi RM730,000 terpedaya pelaburan tak wujud

Iklan
Mangsa menggunakan wang simpanannya dan pinjaman daripada rakan untuk melabur pada mulanya telah berjaya mengeluarkan wang keuntungan sebanyak RM5,000 sebelum laman web tersebut tidak dapat diakses - Gambar hiasan 123RF

KUANTAN - Seorang pesara syarikat swasta berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM730,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud menerusi laman sosial.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa wanita berusia 65 tahun itu pada mulanya berminat untuk menyertai skim pelaburan saham ditawarkan melalui aplikasi Instagram yang menjanjikan keuntungan sebanyak 20 peratus.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, wanita itu seterusnya membuat pendaftaran melalui laman web Bitpanda yang merupakan platform saham bagi tujuan melabur dan telah memindahkan wang sebanyak RM730,000 dengan 19 transaksi ke 14 akaun berbeza bermula 20 April sehingga 9 Jun lepas.

"Mangsa yang menggunakan wang simpanannya dan pinjaman daripada rakan untuk melabur pada mulanya telah berjaya mengeluarkan wang keuntungan sebanyak RM5,000 sebelum laman web tersebut tidak dapat diakses, malah suspek turut meminta mangsa membuat penambahan wang untuk pelaburan itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, mangsa yang menyedari terpedaya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dan jangan mudah terpengaruh dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan. - Bernama

Iklan