Majikan pekerja maut tersepit lif berdepan tindakan undang-undang

Iklan
Laporan Sinar Harian.

GEORGE TOWN - Majikan kepada pekerja penyelenggara yang maut akibat tersepit pada pintu lif bakal berdepan tindakan undang-undang sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, siasatan telah dijalankan di lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan mengenai kemalangan tersebut.

Iklan
Iklan

Kata beliau, notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja penyelenggaraan lif dalam kemalangan tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

"Siasatan yang dijalankan adalah menjurus kepada Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 iaitu berkaitan dengan tanggungjawab majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjanya semasa aktiviti kerja dijalankan.

Iklan

"Kita telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan selain membuat pembentangan kes kepada JKKP," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan lanjut setelah memperoleh dokumen berkaitan dan merakam percakapan saksi.

Iklan

"Saksi telah dikenal pasti dan kita akan merakamkan keterangan mereka. Selepas keterangan diambil dan pemeriksaan lanjut ke atas sistem lif tersebut dibuat, siasatan selanjutnya akan dijalankan.

"Adalah menjadi tanggungjawab majikan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja," ujarnya.

"Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan.

"JKKP memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor. Kita juga sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini," katanya.

Selasa minggu lalu, seorang pekerja penyelenggara maut selepas tersepit di bahagian kepala ketika menyelenggara sebuah lif di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Burmah, di sini.

Mangsa yang dikenali sebagai R Tinesh Kumar, 28 tahun maut di lokasi kejadian kerana parah di kepala.

Ketika kejadian, mangsa bersama seorang lagi pekerja penyelenggaraan sedang membaiki lif di kompleks berkenaan.

Bagaimanapun, rakan mangsa yang berusia 53 tahun selamat.