Buaya Tasik Kiambang berjaya ditangkap

Iklan
Buaya Tasik Kiambang yang berjaya ditangkap pada Khamis.

HULU SELANGOR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap buaya tembaga jantan sepanjang lebih dua meter di Tasik Kiambang, Serendah pada Khamis.

Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, buaya berkenaan masuk ke perangkap yang dipasang Perhilitan sejak 1 Disember lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemasangan perangkap itu dilakukan selepas menerima aduan dan maklumat orang awam berhubung kemunculan buaya berkenaan di kawasan tersebut.

"Pemantauan harian dijalankan kakitangan Perhilitan Hulu Selangor berjaya menemukan buaya itu di dalam perangkap tersebut pada jam 9.15 pagi.

Iklan

"Seramai 11 anggota terlibat dalam proses pemindahan haiwan berkenaan yang berjalan lancar dan selesai kira-kira pukul 3 petang hari sama," katanya.

Media sebelum ini melaporkan orang awam terutama penduduk Apartment Saujana yang terletak berhampiran kawasan tasik itu meluahkan kebimbangan selepas menyedari kemunculan reptilia tersebut.

Iklan

Susulan itu, Perhilitan bertindak memasang perangkap dengan meletak umpan ayam bagi menangkap buaya itu.

Wan Mohd Adib berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan sepanjang operasi menyelamat reptilia dijalankan.

Tambahnya, buaya tersebut akan dipindahkan ke Paya Indah Wetlands, Dengkil bagi pemeriksaan lanjut dan ditempatkan di pusat kuarantin.