SHAH ALAM - Festival Seram Buku Prima 2024 masih membuka penyertaan bagi Konvensyen Penulisan Seram dan Thriller kepada orang ramai yang berminat untuk mendapat perkongsian daripada panel berpengalaman.
Pengarah programnya, Anis Syamila Abdul Halim berkata, secara keseluruhan penyertaan terbuka kepada 150 orang dan setakat ini seramai 100 orang telah membuat pengesahan.
"Masih ada kekosongan bagi konvensyen itu dan kami mengalu-alukan lebih ramai untuk mendaftar dan tidak melepaskan peluang bertemu secara lebih dekat bersama panel yang berpengalaman dalam industri seram.
"Begitu juga bagi slot TikTokers Sembang Seram bersama empat pempengaruh TikTok juga masih ada kekosongan, jadi ini merupakan peluang kepada mereka khususnya peminat cerita genre seram,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Festival Seram Buku Prima 2024 itu bakal berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 dekat sini pada 5 hingga 7 Januari depan dengan sasaran 1,000 pengunjung setiap hari.
Pelbagai pameran, reruai, rumah hantu, gerai jualan makanan dan buku seram turut disediakan kepada pengunjung yang hadir ke festival tersebut.
Dalam pada itu, menerusi reruai Sinar Harian iaitu Zon Keras akan mengetengahkan isu-isu misteri, psiko dan thriller yang berlegar dalam kalangan masyarakat termasuk bilik pengakuan serta soal siasat seperti dilakukan oleh polis turut disediakan.
Tambah Anis Syamila, bagi peserta bagi pertandingan teater sudah penuh iaitu lapan kumpulan melibatkan beberapa institut pengajian tinggi (IPT) sekitar lembah Klang.
"Peserta yang mengambil bahagian berpeluang untuk memenangi hadiah berupa wang tunai bernilai antara RM1,000 hingga RM50 dan hamper mengikut kategori masing-masing.
"Bagi pertandingan teater (berkumpulan), tempat pertama akan membawa pulang wang tunai RM1000, kedua sebanyak RM700 dan ketiga RM500,” jelasnya.
Ujar Anis Syamila, orang ramai dijemput hadir ke festival tersebut sebagai aktiviti masa lapang khususnya ibubapa untuk membawa anak-anak bagi melihat sendiri kemeriahan aktiviti yang disediakan.
Katanya, tiket untuk memasuki rumah hantu masih tersedia tetapi, jika pengunjung tidak sempat membeli secara atas talian boleh dapatkan ketika ‘walk-in’ di sini.