SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sungai Buloh, R.Ramanan menunaikan ikrar pilihan rayanya dengan mendermakan gaji serta elaun bulanan kepada rumah-rumah ibadat di kawasan Parlimen Sungai Buloh.
"Pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu, saya telah berjanji untuk tidak mengambil sebarang elaun atau gaji sebagai ahli parlimen dan menyumbangkannya setiap bulan ke rumah-rumah ibadah di sekitar kawasan Parlimen Sungai Buloh," katanya menerusi aplikasi X.
Menurut R.Ramanan, sebanyak RM332,000 telah disalurkan ke 74 rumah ibadat termasuk masjid, surau, kuil Hindu dan Buddha, gereja dan organisasi keagamaan.
"Sejak Januari 2023, sebanyak RM332,000 telah disumbangkan kepada rumah-rumah ibadah setiap agama di seluruh kawasan Parlimen Sungai Buloh.
"Fokus utama sumbangan adalah untuk memberi sokongan kepada rumah ibadah untuk membantu kebajikan penduduk di sekitarnya dan mengalakkan hidup sebagai sebuah masyarakat prihatin," ujarnya.
Ujarnya lagi, inisiatif itu diharapkan dapat membantu mereka yang memerlukan dan membangunkan sosio-ekonomi setiap komuniti di Parlimen Sungai Buloh.
Sementara itu dalam satu hantaran berasingan, beliau turut memaklumkan sebanyak RM3.7 juta peruntukan bagi Parlimen Sungai Buloh dibelanjakan.
Ia melibatkan projek mesra rakyat (RM2 juta); program komuniti (RM1.127,098); rumah ibadat Islam dan bukan Islam (RM32,520); pendidikan (RM34,830); bantuan bencana (RM98,850) dan kebajikan (RM160,190).
"Sempena 2023 yang akan berakhir, saya ingin menyampaikan ucapan tulus terima kasih kepada pengundi dan penduduk di kawasan Parlimen Sungai Buloh atas amanah diberikan.
"Pelbagai cabaran dan kejayaan kita lalui bersama tahun ini. Kepercayaan dan sokongan anda merupakan pendorong disebalik komitmen saya untuk berusaha demi kemajuan dan kesejahteraan setiap insan," katanya.