KUALA SELANGOR - Kerajaan tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam berikutan situasi pandemik Covid-19 berada pada kategori hijau atau masih terkawal.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penetapan itu sebenarnya bergantung kepada tahap tertentu pandemik tersebut.
Menurut beliau, setakat ini, statistik Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati jumlah kes, kematian dan kemasukan pesakit ke hospital dalam keadaan terkawal.
"Pemakaian pelitup muka kepada rakyat belum diwajibkan kerana kita tidak berada pada tahap serius sama ada kategori oren atau merah," katanya ketika ditemui selepas menziarah pesakit warga emas di Kampung Batu 4, Ijok di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun, katanya, pemakaian pelitup muka itu digalakkan kepada golongan rentan iaitu warga emas berusia 65 tahun ke atas dan komorbiditi.
Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor memberitahu, rakyat kini perlu menerima hakikat terpaksa hidup bersama virus Covid-19, bagaimanapun perlu melakukan langkah-langkah kawalan kendiri.
Beliau menjelaskan, kesedaran untuk menjaga keselamatan dan kesihatan kini bergantung sepenuhnya kepada diri masing-masing.
"Jika boleh elakkan berada di kawasan sempit yang jelas berisiko tinggi untuk dijangkiti pandemik tersebut," jelas beliau.
Menurut Dzulkefly, KKM akan memantau situasi Covid-19 secara menyeluruh dengan turut mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularannya di seluruh negara.
Terdahulu, Dzulkefly dalam kenyataannya pada Jumaat memaklumkan, tiada varian baharu Covid-19 dikesan di Malaysia dan situasi terkawal dengan kebanyakan kes melibatkan gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.
Sehingga kini, tiada varian baharu dikesan jenis sedang menular adalah masih varian Omicron dengan subvariannya XBB.1.16, XBB.1.5, EG.5 dan termasuk JN.1.
Bagi Minggu Epidemiologi ke-51 iaitu dari 17 hingga 23 Disember lalu, kadar kemasukan pesakit ke hospital adalah pada kadar 0.5 peratus manakala kadar kematian adalah 0.08 peratus.