Alif Satar kemalangan

Iklan
Alif Satar kemalangan sebentar tadi apabila motosikalnya dipercayai dilanggar kenderaan lain. Foto Instagram Datuk Saniboey Mohd Ismail

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis mengesahkan menerima laporan kemalangan membabitkan artis versatil, Alif Satar dengan sebuah kereta di Jalan Sri Hartamas 1, di sini pada Jumaat.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintenden Zulkafli Che Lah berkata, laporan itu diterima pihaknya kira-kira jam 8 malam.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 4.20 petang semasa pelakon berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Vespa di lorong paling kiri.

"Sampai di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Mazda CX5 yang berada di kanan telah masuk ke laluan kiri menyebabkan pelakon terbabit mengelak ke kiri sebelum hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan lebam di bahu kiri.

Katanya, motosikal mangsa dilapor turut mengalami kerosakan di bahagian kiri 'coverset'.

Iklan

Sebelum itu, tular di media sosial kemalangan babit pelantun Lelaki Seperti Aku semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Hartamas.

Pempengaruh media sosial yang juga usahawan, Wak Doyok berkongsi beberapa keping gambar dalam akaun X miliknya, menunjukkan Alif, terbaring di atas jalan dan diusung menaiki sebuah ambulans selepas terbabit dalam kemalangan.

Sementara itu, penerbit dan ahli perniagaan, Datuk Saniboey Mohd Ismail menerusi kemas kini di akaun Instagramnya memaklumkan penyanyi dan pelakon itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius.

"Alhamdullillah, brader Ironman @alifsatar tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

"Bagaimanapun, dia tetap akan menjalani X-Ray later just to be sure," tulisnya.

Saniboey turut memaklumkan menerusi komunikasi di aplikasi WhatsApp, Alif memberitahu bahawa beliau berada dalam keadaan baik, dalam masa sama turut memohon agar semua mendoakan kesembuhannya.