SAFAWI Rasid menyifatkan penyenaraiannya semula dalam skuad 26 pemain pasukan bola sepak kebangsaan ke cabaran Piala Asia Qatar 2023 peluang terbaik membuktikan sentuhan penyudah masih berbisa.
Malah, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu mengakui rakan sepasukan lain juga teruja membuktikan kemampuan masing-masing untuk melepasi pusingan 16 temasya terbesar bola sepak Asia berkenaan.
Iklan
Iklan
"Sesungguhnya pusingan akhir Piala Asia adalah pentas tertinggi yang saya akan gunakan sebaiknya sekiranya kalau diberikan kepercayaan beraksi coach Kim Pan-gon.
"Dan semua pemain saya percaya dalam hati bertekad untuk bermain sebagai satu unit tak kisah siapa main, siapa tak main, janji kita nak dapat untuk melayakkan ke pusingan seterusnya.
"Mental rakan sepasukan juga berada pada tahap terbaik dan kita akan teruskan momentum positif ini bagi perlawanan pertama demi kelab dan juga pasukan kebangsaan," katanya semasa sesi latihan Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya pada Jumaat
Safawi yang memulakan karier bersama kelab T-Team (Terengganu) sebelum menyinar bersama gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) diikuti menimba pengalaman dengan Portimonense (Portugal) dan Ratchaburi (Thailand) sebelum kembali menyertai Harimau Selatan musim lalu.
Harimau Malaya kendalian Pan-gon yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia akan menyingkap cabaran Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Januari diikuti Bahrain (20 Januari) sebelum melabuh kempen kumpulan menentang, Korea Selatan pada 25 Januari.