Jojo unggul sambar gelaran ONE Championship

Iklan
Kejayaan Jojo dikongsi menerusi laman sosial ONE Championship. - Foto: FB ONE Championship

BINTANG muda muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali menutup tirai musim 2023 dengan cemerlang apabila dinobat sebagai Bintang Baharu Paling Menyerlah 2023 oleh ONE Championship.

Petinju berusia 17 tahun itu dijulang dengan gelaran tersebut setelah memperagakan aksi luar biasa sepanjang pertarungan musim ini.

Iklan
Iklan

Perkhabaran gembira buat Johan yang terkenal dengan gelaran Jojo itu dikongsi laman sosial ONE Championship pada Jumaat.

"Tahun 2023 sangat besar buat Johan Ghazali yang berusia 17 tahun.

"Masa depan sangat cerah untuk sensasi muay thai ini," tulis kenyataan itu menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Iklan

ONE Championship turut berkongsi pencapaian Jojo menerusi poster yang dimuat naik di Instagram mereka.

"Dengan rekod kemenangan 5-0 dan empat KO (kiraan knockout) tahun ini di bawah peraturan muay thai, Johan mengatasi pencabar lain bagi bergelar Bintang Baharu Paling Menyerlah 2023," catat kenyataan tersebut.

Iklan

Jojo yang bernaung di bawah Rentap Muay Thai Gym membuka kempen 2023 dalam pertarungan Road to ONE Championship dengan langkah kanan.

Kejayaan itu diraih selepas dia menumpaskan bintang muda Thailand, Padetsuk Fairtex secara KO dalam tempoh hanya 16 saat (s) pada pertarungan ONE Friday Fights 6 pada Februari lalu.

Jojo terus unggul apabila melakar satu lagi kemenangan dengan kiraan KO ke atas Tai Sor Jor Piek Uthai dari Thailand dalam tempoh 1 minit 37s dalam ONE Friday Fights pada 18 Mei lepas.

Jojo konsisten dengan aksinya apabila mengalahkan Samurai Seeopal dari Thailand menerusi keputusan sebulat suara dalam tempoh 3 minit pada pertarungan ONE Friday Fights 25 Julai lalu.

Tanpa menoleh ke belakang, Jojo kembali ke gelanggang tiga bulan kemudian untuk menentang petinju dari Rusia, Temirlan Bekmurzaev dalam pertarungan ONE Friday Fights 36.

Biarpun mendapat tentangan sengit, kemenangan akhirnya memihak Jojo dengan keputusan KO dalam tempoh 2:43s.

Kemenangan tersebut menyaksikan dia berjaya memahat sejarah sebagai atlet tempur termuda memperoleh kontrak AS$100,000 (RM463,300) dengan ONE Championship.

Kejayaan meraih kontrak itu melonjakkan semangat Jojo untuk tampil lebih garang di gelanggang.

Pertarungan menentang juara MuayThai Antarabangsa WBC dari Mexico, Edgar Tabares menyaksikan dia gah dengan keputusan KO dalam tempoh hanya 36s.