CADANGAN Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham untuk melibatkan pakar perlembagaan bukan Islam ke dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam jelas tidak wajar apabila ia bukan hanya mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk ahli politik, bahkan turut 'ditegur' oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri.
Pada Jumaat, Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.
Titah baginda, penganut agama lain seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia.
Perkembangan tersebut sepatutnya membuka mata mana-mana pemimpin bukan beragama Islam agar lebih peka dan sensitif terhadap kenyataan yang mahu dikeluarkan.
Ia sebagai mana yang ditegaskan beberapa pihak, termasuk pemimpin parti dalam kerajaan sendiri, Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang kurang senang dengan tindakan Koo Ham.
Katanya, cadangan berkenaan hanya akan mencetuskan polemik hingga mencemarkan keharmonian rakyat pelbagai agama dan kaum dalam negara.
Tambah beliau, Mahkamah Syariah diutamakan kepada rakyat beragama Islam, malah proses menambah baik dan menaik taraf dilakukan sejak parti tersebut menerajui kerajaan serta sentiasa dibuat secara bertahap.
Pemimpin pembangkang pula tentunya lebih lantang mengecam cadangan tersebut, antaranya Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyifatkan tindakan Koo Ham sebagai melampau dan tidak celik perlembagaan.
Sementara itu, Pas pula menzahirkan rasa kesal terhadap kecenderungan berterusan pemimpin DAP yang membuat kenyataan-kenyataan mengundang polemik tidak perlu dan berpotensi mencetuskan suasana tidak harmoni dalam masyarakat.
Bahkan, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menyifatkan tindakan Koo Ham sebagai satu lagi siri kegagalan kerajaan dalam mengawal naratif anggotanya sendiri.
Justeru, perkara tersebut perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan memastikan jaminan diberikan agar kenyataan yang mampu mencetuskan polemik seumpama itu tidak berulang.
Ia juga bagi mengelakkan berlakunya perselisihan faham antara agama dalam negara yang aman dengan pelbagai kepercayaan sejak merdeka lagi.