KAMPAR - Rumah Ngaji Perak meneruskan kempen solidariti untuk rakyat Palestin dalam usaha memupuk kesedaran berterusan kepada orang ramai.
Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim berkata, ketika ini rejim Zionis secara terus menerus masih melakukan kekejaman terhadap penduduk di sana menyebabkan kematian dan kemusnahan harta benda terus meningkat.
"Kami di Rumah Ngaji berasakan bahawa doa dan kesedaran terhadap penindasan penduduk Palestin mesti diteruskan dan dirasai setiap manusia terutama umat Islam.
"Kalau tidak dilakukan secara berterusan, perkara ini akan sepi dan berasakan pembunuhan itu perkara biasa. Sebenarnya tidak, itu bukan perkara biasa, sangat-sangat luar biasa," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau ditemui dalam program Quran Hour for Gaza anjuran Rumah Ngaji Khodibah Kuala Dipang di sini pada Khamis.
Menerusi program itu, hampir 60 peserta yang hadir mengambil bahagian dalam perarakan solidariti Palestin sambil berselawat diikuti tadabbur al-Quran surah al-Isra.
Setakat ini, sebanyak 122 Rumah Ngaji berjaya ditubuhkan di seluruh negeri dengan penyertaan hampir 7,000 orang.
Mangulas lanjut, Normah Hanum berkata, walaupun kempen dilakukan dalam kelompok kecil kalangan ahli Rumah Ngaji, namun usaha itu membawa pengertian besar kerana didasari nilai kemanusiaan, kedamaian dan keamanan sejagat.
Beliau berharap, usaha itu dapat menyuburkan kembali gerakan kempen kesedaran dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk terus memperjuangkan kebebasan Palestin.
"Kita mesti bersatu padu membawa rasa keinsafan dan kesedaran bagaimana kejamnya Israel terhadap orang Islam.
"Palestin boleh mencapai kemenangan lama dahulu jika umat Islam dan negara-negara Islam seluruh dunia bersatu untuk membantu," katanya.
Israel telah menyerang Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu, membunuh sekurang-kurangnya 20,700 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan mencederakan 54,536 yang lain, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.