Bosan PKP, suami isteri tukar tanah terbiar jadi kebun

Iklan
Chew Seh Yong (kanan) menunjukkan pokok cili ditanam Leah Yang dan suami.

SEREMBAN - Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu menjadi permulaan buat pasangan suami isteri warga emas mengusahakan tanah kosong di Taman Sri Amber di sini untuk dijadikan kebun sayur-sayuran dan buah-buahan.

Berkat usaha Leah Yang, 60 dan Jefry Wong, 67 itu, kawasan seluas 1,176 meter persegi yang pada mulanya dipenuhi pokok dan semak samun terbabit kini 'dihiasi' dengan lebih 20 jenis tanaman.

Leah Yang dan suami seronok dapat isi masa lapang dengan berkebun.

Iklan
Iklan

Malah ia sudah pun mengeluarkan hasil yang bukannya untuk dijual tetapi dikongsi dengan jiran tetangga.

Menurut Leah, sejak kecil dia sememangnya sudah biasa mengikut ibu bapanya berkebun di kampung, tetapi minatnya itu tidak dapat diteruskan sejak berhijrah ke kawasan bandar.

Iklan

"Saya pun tak pernah terfikir nak buat kebun di tanah kosong ini.

"Tapi memandangkan waktu PKP itu bosan tak tahu nak buat apa, saya mengajak suami berkebun selepas melihat kawasan tanah itu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Ia ditambah pula katanya, penduduk di kawasan berkenaan dimaklumkan pernah membuat aduan berkenaan semak di situ.

Justeru itu katanya, dia dan suami memulakan langkah membersihkan kawasan berkenaan sedikit demi sedikit sebelum bermula dengan tanaman ubi.

"Antara tanaman yang saya tanam adalah bendi, serai, daun kari, daun bawang, keladi, jambu air dan buah nona. Saya memang tidak jual, semuanya dikongsi dengan penduduk di sini.

"Cukup sekadar mereka gembira dan berterima kasih, saya sudah puas kerana dapat membantu golongan yang memerlukan," katanya.

Leah Yang menunjukkan buah nona yang ditanamnya.

Sementara itu ujarnya, menjadi rutinnya sekarang setiap pagi untuk ke kebun dan hanya akan pulang ke rumah jam 11 pagi.

Tambahnya, dia seronok mengisi waktu lapang dengan aktiviti berkebun sekali gus dapat menjadikannya lebih cergas.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lobak, Chew Seh Yong berkata, pertanian kebun komuniti yang diusahakan pasangan itu amat digalakkan kerana dapat menggunakan sepenuhnya tanah lapang yang terbiar.

"Majlis Bandaraya Seremban (MBS) juga amat menggalakkan pertanian komuniti ini. Apa yang dibuat pasangan ini memudahkan kerja MBS mengenai aduan masalah semak selain dapat menyumbangkan kepada komuniti," katanya.