PEMAIN import dari Tajikistan, Amirbek Juraboev menjadi pemain pertama Kedah Darul Aman (KDA) FC yang mengumumkan perpisahan dengan kelab Liga Super dari utara itu.
Jeneral padang berusia 27 tahun yang beraksi cemerlang dalam 23 perlawanan musim ini mengakui sukar untuk berpisah dengan Sang Kenari.
Menurutnya dalam ucapan perpisahan di Instagram, satu pencapaian baik telah dicapai walaupun hanya beraksi satu musim sahaja dengan meledakkan enam jaringan.
"Assalamualaikum kepada semua, ia sesuatu yang sukar untuk mengucapkan selamat tinggal, tetapi ini adalah sebahagian daripada kehidupan bola sepak.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang, terima kasih kepada pemain, jurulatih dan pihak pengurusan.
"Ia merupakan musim yang baik buat kita, saya gembira dan seronok berada di sini (Kedah) untuk musim ini.
"Selamat maju jaya kepada semua orang, semoga berjaya Kedah dan semoga ALLAH melindungi anda semua.
"Semoga kita berjumpa lagi, paling penting terima kasih kepada semua penyokong kami," tulisnya.
Dikhabarkan KDA FC bakal melakukan rombakan dan dilaporkan setakat ini kapten pasukan, Manuel Ott dalam senarai dikekalkan bagi musim 2024.