PENGACARA dan pelakon popular, Alif Satar dilaporkan stabil selepas mengalami kemalangan ketika pulang daripada solat Jumaat, petang semalam.
Perkongsian selebriti tersebut dalam satu hantaran di akaun Instagram miliknya memberitahu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakannya.
"Alhamdulillah, ALLAH uji sikit saja. Terima kasih semua yang mendoakan kesejahteraan. Moga ALLAH SWT makbulkan dan permudahkan urusan kalian juga.
"Sudah check up dengan doktor di KPJ Tawakal semalam dan all is clear. Tak ada yang patah, masa jatuh kepala sakit dan pening,” ceritanya kepada umum.
Penyanyi berusia 33 tahun itu turut berkongsi kebimbangan jika berdepan impak serius daripada kemalangan yang melibatkan dengan sebuah kenderaan di Jalan Sri Hartamas 1, Kuala Lumpur itu.
"Takut juga ada yang serius tapi doktor beritahu tak ada symptoms concusions. Syukur cuma badan sakit-sakit (moga penghapus dosa).
"Terima kasih sekali lagi semua yang call dan mesej bertanya khabar. Saya cuba untuk membalas semua,” tulisnya mengakhiri perkongsian.
Meskipun dalam keadaan masih sakit-sakit, pelantun lagu Anugerah Terindah itu sempat mengajak semua supaya dapat solat Subuh berjemaah di Masjid Saidina Umar Bukit Damansara pada 1 Januari nanti.
Terdahulu, bapa tiga orang anak itu dilaporkan terbaring di atas jalan selepas terlibat dalam satu kemalangan selepas tidak sempat mengelak sebuah kenderaan jenis Mazda CX5. - Sinarplus.